Skip to main content

Kesan penularan Covid-19 pada 2020 lalu telah mencetus lonjakan pada sektor perkhidmatan atas talian di Malaysia dengan berlaku peningkatan jumlah pekerja e-hailing dan p-hailing.

Malah, statistik terbaru 2023 menunjukkan ramai lepasan SPM dan graduan baru pilih untuk ceburi bidang e-hailing dan p-hailing secara separa masa atau sepenuh masa berbanding pekerjaan korporat.

Namun, sedihnya tiada perundangan khusus yang menjaga kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing kerana ia dikategorikan sebagai bekerja sendiri atau freelance.

Definisi e-hailing, p-hailing dan Ekonomi gig

e-hailing merujuk kepada perkhidmatan pengangkutan awam seperti teksi yang dipesan atas talian, sementara p-hailing adalah perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan menggunakan motosikal.

Kedua-duanya dikategorikan sebagai ekonomi gig (gig economy) iaitu satu sistem pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada pekerja untuk bekerja tanpa majikan perlu mengajikannya sepenuh masa.

Senang cerita pekerja ekonomi gig ini adalah freelance yang bekerja di bawah kontrak kerja fleksibel dan dibayar ganjaran amaun tertentu selepas menyelesaikan tugasan.

Perbezaan besar antara pekerja ekonomi gig dan pekerja separuh masa adalah jenis kontrak, di mana e-hailing dan p-hailing lebih fleksibel sementara pekerja sambilan terikat dengan aturan masa majikan.

Hak Pekerja e-hailing, p-hailing dan Ekonomi gig

Buat masa ini e-hailing dan p-hailing tidak disebut pada mana-mana seksyen dalam Akta Kerja 1955, sedangkan pekerja sambilan pula dilindungi Peraturan Pekerja (Pekerja Separa Masa) 2010 iaitu sebahagian daripada Akta Kerja 1955.

Rujukan untuk hak pekerja sambilan boleh dibaca pada artikel pekerja separa masa dan akta kerja ini.

Sebaliknya, pekerja e-hailing hanya dipantau oleh Kementerian Pengangkutan pada tahun 2019 dengan mewajibkan syarikat e-hailing menyediakan perlindungan insurans kepada pemandu, penumpang, kenderaan dan pihak ketiga sebagai langkah keselamtan.

Bentuk pemantuan lain yang dibuat adalah mengehadkan syarikat e-hailing dari mengambil lebih 20% komisen bayaran tambang yang diterima pemandu dan membenarkan nilai tambang dinaikkan sebanyak 2 kali ganda pada waktu puncak sahaja.

Di sini jelas menunjukkan tiada perundangan spesifik yang menyentuh tentang kebajikan terutamanya dari segi gaji ataupun perlindungan lain kepada pekerja e-hailing dan p-hailing.

Sungguhpun begitu ini tidak bermakna hak pekerja ekonomi gig diperkongtang-kangtingkan. Memandangkan pekerja ekonomi gig dikategorikan sebagai freelance atau pekerja sendiri, mereka boleh merujuk kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 ini diwajibkan ke atas Sektor Pengangkutan Penumpang termasuk e-hailing, yang akan beri perlindungan kepada pencarumnya bermula dari tarikh caruman dibuat.

Di bawah skim ini juga pekerja akan dapat perlindungan daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit atau kemalangan yang berlaku semasa menjalankan pekerjaan termasuk:

  • Faedah perubatan
  • Faedah hilang upaya sementara
  • Faedah hilang upaya kekal
  • Faedah orang tanggungan
  • Elaun layanan sentiasa
  • Faedah pengurusan mayat
  • Kemudahan pemulihan jasmani/ vokasional
  • Faedah pendidikan

Bagi sesetangah kes pula pekerja freelance akan merujuk kepada Akta Kontrak 1950 yang menceritakan hak perlindungan serta kewajiban pihak berkontrak serta hukuman bagi pelanggaran kontrak.

Status Pekerja e-hailing, p-hailing dan Ekonomi gig

Nasib pekerja e-hailing dan p-hailing mungkin akan berubah tidak lama lagi dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyentuh berkaitan isu keselamatan sosial ekonomi gig kepada media pada 28 Mei lalu.

Dalam kenyataannya Ahmad Zahid bakal mengadakan perbincangan bersama Menteri Sumber Manusia V Sivakumar untuk mewujudkan akta khusus berkenaan keselamatan sosial bagi pekerja ekonomi gig.

Walaupun masih dalam fasa perbincangan ia memberi isyarat baik memandangkan nasib pekerja ekonomi gig sering dianak-tirikan sejak ia tembusi arus perdana.

Harapnya nasib pekerja ekonomi gig akan terbela sepertimana pekerja-pekerja sektor lain yang berhampas pulas mencari rezeki dalam dunia pekerjaan.

One Comment

Leave a Reply