Skip to main content

Sebelum ini MySyarikat pernah terbitkan satu artikel yang menyentuh tentang peraturan penggajian pekerja asing untuk majikan di Malaysia. Ia menyentuh hak-hak pekerja serta majikan yang menggunakan khidmat pekerja asing di tempat kerja mereka.

Jadinya untuk artikel kali ini pula akan dikongsikan pula tentang hak-hak pekerja domestik serta perkaitannya dengan perundangan kerja utama di Malaysia, Akta Kerja 1955.

Apa Itu Pekerja Domestik?

Menurut definisi, pekerja domestik adalah mereka yang diambil bekerja di suatu rumah kediaman persendirian, bukan diambil bekerja bagi sebarang aktiviti perdagangan mahupun perniagaan atau profesion yang dijalankan oleh majikan.

Mudahnya pekerja domestik adalah mereka yang diambil bekerja oleh majikan untuk menjalankan tugas di kediaman atau bertujuan peribadi tanpa memberi sebarang nilai keuntungan di bawah mana-mana syarikat.

Contoh mereka yang dianggap pekerja domestik adalah seperti berikut:

  • Pembantu rumah
  • Pemandu peribadi
  • Tukang kebun
  • Pengawal peribadi
  • Pengawal keselamatan
  • Tukang masak
  • Penjaga orang tua
  • Pengasuh bayi atau kanak-kanak 

Perlu difahamkan bahawa terdapat perbezaan di antara mereka yang menjadi pekerja domestik dan pekerja biasa. Walaupun kedua-duanya bermotivasikan upah, namun mereka yang pekerja biasa selalunya beri perkhidmatan kepada majikan untuk perniagaan yang berlandaskan keuntungan.

Sebaliknya pekerja domestik bekerja untuk syarikat pada tahap peribadi seperti di kediaman majikan yang tiada perikatan kepada sebarang perniagaan mahupun keuntungan.

Pekerja Domestik dan Akta Kerja 1955

Pekerja domestik disebut pada Bahagian 11 Akta Kerja 1955 dan terdapat 1 seksyen yang terbahagi kepada 2 bahagian di dalamnya. Seksyen 57 ini menerangkan tentang penamatan kontrak pekerja domestik.

Ia mengatakan bahawa kontrak untuk menggaji dan berkhidmat sebagai pekerja domestik boleh ditamatkan sama ada majikan atau pekerja domestik itu sendiri dengan memberikan notis pemberhentian 14 hari, atau pembayaran indemniti mengikut jumlah upah yang dibayar untuk 14 hari tersebut.

Di sini dapat disimpulkan bahawa pekerja domestik juga memiliki hak yang hampir sama seperti pekerja lain, di mana majikan tidak boleh sewenang-wenangnya membuang pekerja tanpa mengemukakan notis pemberhentian.

Sebaliknya mana-mana pihak boleh menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa notis atau bayaran sekiranya berlaku kesalahan yang tidak konsisten dengan terma dan syarat kontrak. Maka, di sini juga hak pekerja domestik terjaga andai berlaku pelanggaran kontrak bersama majikan.

Selain itu, pada Seksyen 57A pula ada mengatakan bahawa  majikan perlu memaklumkan kepada Ketua Pengarah sekurang-kurangnya 30 hari sebaik menggajikan pekerja domestik. Tujuannya adalah untuk memberi perlindungan kepada pekerja domestik tersebut.

Seterusnya, Seksyen 57B menetapkan bahawa majikan perlu memaklumkan kepada Ketua Pengarah sekurang-kurangnya 30 hari sebaik menamatkan kontrak perkhidmatan pekerja domestik.

Boleh dikatakan bahawa Akta Kerja 1955 turut melindungi pekerja domestik sama seperti para pekerja lain yang bekerja di Malaysia.

Faedah Pekerja Domestik

Walaupun pekerja domestik tidak perlu mencarum dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), tetapi ini tidak bermakna mereka tiada diberikan sebarang faedah langsung.

Bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insuran Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), mereka yang bekerja sebagai pekerja domestik diwajibkan untuk berdaftar dan mencarum.

Kewajipan ini telah berkuatkuasa pada 1 Jun 2022 dan terpakai kepada mana-mana pekerja domestik dengan polisi insurans berkaitan bencana kerja dan keilatan yang tamat selepas 31 Mei 2022. Rujukan pendaftaran boleh dibuat pada laman rasmi PERKESO.

Ternyata perundangan kerja di Malaysia lengkap dan meliputi semua jenis bidang kerja serta industri. Sebagai majikan anda perlu tahu dan fahami hak-hak pekerja kerana jika didapati bersalah majikan boleh dikenakan hukuman.

Sama juga untuk pekerja anda perlu fahami hak-hak anda sebagai seorang pekerja atau pemberi khidmat di Malaysia. Pastikan hak-hak anda tidak diabaikan, dan segera membuat laporan jika berlaku penindasan oleh majikan.

Leave a Reply