Skip to main content

Umum mengetahui di bawah pindaan baru Akta Kerja 1955 pada tahun 2022 jumlah Cuti Bersalin bagi pekerja wanita di swasta telah dilanjutkan kepada 98 hari sementara pekerja lelaki swasta diberikan 7 hari Cuti Paterniti.

Tujuan penambahan ini dibuat adalah untuk selarikannya dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Cerian SR.5.4.2 yang menitikberatkan konsep mengutamakan keluarga. Ia juga sebagai perlindungan kepada hak wanita dalam dunia pekerjaan.

Jika sebelum ini MySyarikat pernah kongsikan berkenaan Cuti Paterniti dan pindaannya, artikel kali ini akan menyentuh lebih mendalam tentang Cuti Bersalin serta elaun yang diberikan.

Cuti Bersalin dan Akta Kerja 1955

Apabila dilihat pada Akta Kerja 1955 terdapat 2 bahagian yang menerangkan perlindungan hak wanita dalam dunia pekerjaan. Pada Bahagian 8 ia menerangkan tentang pengambilan pekerja wanita dan Bahagian 9 pula menceritakan tentang perlindungan bersalin.

Pada Seksyen 37 ada mengatakan bahawa setiap pekerja wanita berhak dapat cuti bersalin untuk tempoh sembilan puluh lapan (98) hari berturut-turut dan tertakluk pada Bahagian ini, pekerja itu berhak menerima daripada majikannya elaun bersalin yang dikira atau ditetapkan seperti pada subseksyen (2).

Kemudian pada Seksyen 37 (2) pula menerangkan kelayakan pekerja wanita menerima elaun bersalin berdasarkan syarat seperti:

  • Pekerja wanita diambil bekerja oleh majikan pada bila-bila masa dalam empat (4) bulan tepat sebelum kandungannya; dan
  • Pekerja wanita  diambil bekerja oleh majikan pada tempoh waktu, atau jangka waktu berjumlah tidak kurang dari sembilan puluh hari (90) selama sembilan (9) bulan tepat sebelum kandungannya

Berdasarkan huraian tersebut, ini bermakna seorang pekerja wanita layak menerima elaun bersalin daripada majikannya setiap hari tempoh bersalin pada kadar gaji biasa, atau kadar yang ditetapkan oleh Kementerian di bawah Seksyen 102 (2)(C).

Ini juga bermakna pekerja wanita yang diambil bekerja pada kadar bayaran bulanan masih layak menerima gaji setiap bulan tanpa ada pengurangan semasa tempoh bersalin dan berpantang, bermakna pekerja itu dianggap telah menerima elaun bersalinya.

Seterusnya pada Seksyen 38 pula menerangkan cara pembayaran elaun bersalin dengan mengatakan bahawa setiap tempoh upah di bawah kontrak perkhidmatan pekerja wanita yang ambil cuti bersalin perlu dibayar dengan cara sama dibayar gaji.

Dalam pada itu, seorang pekerja wanita boleh kehilangan elaun bersalinnya jika gagal memaklumkan kepada majikan. Pada Seksyen 40 mengatakan kegagalan pekerja wanita untuk memaklumkan peninggalan kerjanya boleh menyebabkan majikan tidak membayar elaun.

Di sini seorang pekerja wanita perlu memaklumkan kepada majikannya tentang kehamilan dalam jangka masa enam puluh (60) hari sebelum tarikh jangkaan bersalin untuk melayakkan diri mendapat cuti dan elaun bersalin.

Selain itu, andai pekerja wanita yang ambil cuti bersalin meninggal dunia maka majikannya perlu membayar kepada penama pekerja wanita tersebut dengan syarat segala notis makluman berkenaan persalinan telah diberikan kepada majikan.

Situasi Cuti Bersalin Di Malaysia

Jadinya berdasarkan apa yang telah dihuraikan oleh Akta Kerja 1955, pekerja wanita bukan sahaja layak untuk menerima cuti bersalin 98 hari tetapi turut sama berhak dapat pembayaran elaun sepanjang tempoh cuti tersebut.

Syarat utama untuk melayakkan pekerja wanita itu mendapat segala hak tersebut adalah dengan memberi makluman sama ada dalam bentuk notis kepada majikan untuk beritahu berkenaan kandungannya.

Dalam konteks Malaysia pula selalunya majikan ada menyediakan borang cuti bersalin yang membolehkan pekerja wanita memohonnya. Dinasihatkan kepada pekerja wanita yang mengandung untuk memohon cuti seawal mungkin selepas mendapat tarikh jangkaan bersalin dari pegawai kesihatan.

Malah, para suami juga dinasihatkan untuk memaklumkan kepada majikan seawal mungkin berkenaan permohonan cuti paterniti bagi memudahkan pihak majikan mengurus peninggalan kerja sementara oleh pekerja.

Leave a Reply