Skip to main content

Selepas menerima tawaran kerja, biasanya seorang pekerja akan melalui tempoh percubaan (probation period) sebelum disahkan sebagai seorang pekerja tetap. Ia adalah amalan biasa yang dipraktiskan kebanyakan syarikat di Malaysia dan Barat untuk menilai kelayakan pekerja.

Konsep tempoh percubaan digunakan untuk majikan menilai kesesuaian dan kelayakan pekerja dalam jangka masa 3 ke 6 bulan atau 12 bulan dari tarikh lapor diri pekerja. Ia juga dapat membantu pekerja menyesuaikan diri dengan budaya, politik dan persekitaran kerja baru.

Mudah kata tempoh percubaan adalah waktu suai kenal majikan dan pekerja untuk menilai segala aspek tentang pekerjaan sebelum mengesahkan kemasukan ke dalam syarikat.

Tapi apakah status pekerja percubaan dalam Akta Kerja 1955? 

Status dan Hak Pekerja Percubaan

Pada Akta Kerja 1955 tiada seksyen yang menyebut tentang tempoh percubaan tapi ini tidak bermakna pekerja percubaan tidak dilindungi oleh perundangan kerja di Malaysia.

Sebaliknya, Akta Kerja 1955 ada menyebut bahawa individu yang memasuki kontrak perkhidmatan adalah disebut sebagai pekerja dan ini melayakkan mereka untuk mendapat perlindungan undang-undang kerja di Malaysia.

Ini bermakna pekerja percubaan masih layak menerima perlindungan yang sama seperti pekerja lain berdasarkan hitam putih yang ada pada kontrak kerja.

Rujukan berkenaan penetapan kontrak kerja boleh dibuat pada artikel Kontrak Kerja: Bertulis dan Tidak Bertulis yang diterbitkan sebelum ini.

Di sini penting untuk pekerja kenal pasti jangka masa tempoh percubaan dalam kontrak kerja. Andai tidak dinyatakan sebarang tempoh percubaan, maka pekerja itu boleh dianggap sebagai pekerja tetap syarikat.

Antara penetapan lain yang perlu dikenal pasti selain jangka masa tempoh percubaan adalah tempoh notis dan sebarang perbezaan faedah lain yang diterima seperti cuti.

Pekerja Percubaan Ke Pekerja Tetap

Suka diingatkan bahawa walaupun tempoh percubaan tidak dinyatakan dalam perundangan, pekerja percubaan yang tamat tempoh percubaan tidaklah naik sebagai pekerja tetap secara automatik.

Hal ini kerana secara teknikal kontrak, pekerja percubaan kekal di bawah tempoh percubaan selagi tidak menandatangai surat pengesahan (confirmation letter) ataupun ditamatkan perkhidmatan. Senang cerita perlu dapat pengesahan rasmi syarikat terlebih dahulu.

Penting untuk pekerja dapatkan surat pengesahan dari majikan selepas tamat tempoh percubaan bagi melayakan diri untuk menerima segala hak perlindungan dan faedah di bawah perundangan kerja Malaysia.

Sesetangah syarikat pula boleh menjalankan ujian penilaian pada akhir tempoh percubaan sebelum mengesahkan kemasukan pekerja sebagai pekerja tetap.

Dalam pada itu, majikan juga layak menamatkan perkhidmatan atau melanjutkan tempoh percubaan pekerja jika prestasi kerja dinilai tidak memuaskan. Perlu difahamkan bahawa majikan tidak boleh menamatkan atau melanjutkan tempoh percubaan sesuka hati.

Majikan perlu kemukakan sebab kukuh pada surat pengesahan atau surat penamatan, sama seperti peraturan untuk pekerja tetap lain. Kegagalan mengemukakan sebab membolehkan pekerja membawa kes ke mahkamah untuk dapatkan keadilan.

Akhir sekali, walaupun tempoh percubaan tidak disebut dalam Akta Kerja 1955 ia tidak bermakna mereka langsung tidak layak menerima cuti asas seperti cuti umum dan rehat mingguan. Tanpa kira status, faedah cuti di dibawah Akta Kerja 1955 berkuatkuasa terhadap semua:

  • Pekerja yang telah menandatangani kontrak perkhidmatan dengan gaji bulanan RM2,000 atau kurang (pindaan baru berkuatkuasa 1 Januari 2023 menetapkan RM4,000 atau kurang)
  • Pekerja yang terlibat dalam buruh kasar, tanpa mengira tangga gaji
  • Pekerja domestik
  • Pekerja kategori lain dalam Jadual Pertama Akta Kerja 1955

Ternyata pekerja percubaan sebenarnya tiada bezanya dengan pekerja tetap lain, dan mereka  masih layak untuk menerima faedah cuti di bawah Akta Kerja 1955.

Tidak kira sama ada pekerja percubaan atau pekerja tetap, setiap individu yang memasuki kontrak perkhidmatan perlu melakukan yang terbaik dalam pekerjaan dan dilayan secara adil sebagai manusia.

8 Comments

  • Nor Shafiqah Binti Saifudin says:

    Assalamaulaikum,dan salam sejahtera MYSYARIKAT.

    saya ingin bertanyakan tentang cuti tahunan. Adakah cuti tahunan wajib diberikan kepada staf yang masih dalam tempoh percubaan? maaf saya keliru berkenaan ini. Setahu saya dalam tempoh percubaan tiada kelayakan cuti tahunan,jadi saya inginkan jawapan yang tepat.

    • Zahin Byond says:

      Cuti tahunan boleh digunakan pekerja selepas lengkap tempoh perkhidmatan 12 bulan, tetapi berdasarkan budi bicara majikan selalunya syarikat akan membenarkan pekerja mengambil cuti tahunan selepas tamat tempoh percubaan cuma jumlah cuti tersebut akan diproratakan.

  • Ayu says:

    Assalamualaikum,

    Saya ditawarkan kerja dengan gaji RM1500, tetapi hanya akan menerima RM1000 selama 3 bulan dengan alasan masih dibawah tempoh percubaan. Adakah ini dibenarkan?

    • Zahin Byond says:

      Pembayaran upah (gaji) ada dinyatakan dalam Akta Kerja. Mengikut penetapan yang digariskan majikan tidak boleh membuat sebarang potongan pada gaji pekerja selain daripada caruman wajib seperti KWSP, PERKESO, dan SIO.

  • Azimah Bt Ramsah says:

    Adakah dalam tempoh percubaan majikan tidak perlu membuat potongan kwsp serta mencarum dalam kwsp

    • Zahin Byond says:

      Di dalam Akta Kerja 1955, tempoh percubaan tidak dinyatakan sama sekali. Ini bermakna apabila pekerja memasuki kontrak perkhidmatan dengan majikan, segala caruman seperti KWSP, PERKESO dan SIP adalah wajib tanpa mengira status percubaan atau tidak.

  • janna says:

    “during probation period, medical leave undertaken shall be considered as no pay leave”
    adakah syarikat dibenarkan untuk menolak gaji jika MC pada tempoh percubaan selama 6 bulan? jika tidak, bagaimana harus saya mengutarakan perkara ini kepada HR sebelum saya menandatangani surat tawaran bekerja. Saya berpendapat agak tidak adil kerana sakit adalah perkara diluar jangka dan pihak syarikat seolah tidak cakna soal kesejahteraan pekerja dalam tempoh percubaan.

    • Zahin Byond says:

      Mengikut Akta Kerja 1955, cuti sakit dan cuti hospitalisasi merupakan hak pekerja sebaik memasuki kontrak perkhidmatan dengan syarikat. Selain itu Akta Kerja juga tidak menyebut tentang tempoh percubaan, tetapi menyebut bahawa pekerja yang memasuki kontrak perkhidmatan melayakkan mereka untuk menerima faedah seperti cuti dan notis.

Leave a Reply