Skip to main content

Setiap pekerja mesti lalui tempoh percubaan (probation period) bila mula bekerja. Ia adalah amalan standard yang digunakan kebanyakan syarikat di Malaysia bagi menilai pekerja sebelum diambil sebagai pekerja tetap.

Jika sebelum ini MySyarikat ada kongsikan tentang hak-hak pekerja percubaan (probationer), kini akan dikongsikan pula beberapa tip untuk pekerja yang sedang atau bakal jalani tempoh percubaan.

Tip Tempoh Percubaan

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, tempoh percubaan tidak disebut dalam Akta Kerja 1955 tapi ini tidak bermakna pekerja percubaan tidak dilindungi. Sebaliknya, pekerja percubaan masih dianggap sebagai pekerja yang memasuki kontrak perkhidmatan.

Perbezaannya mungkin pada faedah asas yang ditawarkan syarikat kepada pekerja. Contohnya perbezaan dari segi elaun atau jumlah tuntutan kos perubatan yang diberikan syarikat kepada pekerja.

Bagi mendapatkan faedah-faedah yang dinikmati pekerja tetap lain, pekerja percubaan perlu habiskan tempoh percubaan dan dapatkan surat pengesahan (confirmation letter) terlebih dahulu.

Jadi ini adalah beberapa tip-tip untuk pekerja percubaan melalui tempoh percubaan.

1. Fahami visi dan misi syarikat

Setiap syarikat ada matlamat dan hala tuju tersendiri, dan pastinya semasa sesi temuduga pihak majikan mesti ada berikan bayangan tentang tugasan yang menanti pekerja. Di sini pekerja yang baru masuk perlu segera menyesuaikan diri.

Masa dalam tempoh percubaan inilah masa terbaik untuk pekerja mengenal dan menyesuaikan diri dengan budaya kerja syarikat. Nama pun tempoh percubaa iaitu waktu penilaian antara majikan dan pekerja.

2. Pamerkan kemahiran diri

Semasa tempoh percubaan tidak jadi salah kalau pekerja buat kesilapan, sudah nama percubaan. Ambil masa untuk fahami tugas-tugas yang diberikan dan perbetulkan kesilapan yang dibuat dari masa ke semasa.

Pada tempoh waktu percubaan ini juga pekerja boleh cuba tonjolkan kemahiran diri atau up-sell kemahiran diri yang ada kepada majikan. Biasanya pekerja yang tunjukkan prestasi kerja baik akan diserap masuk lebih cepat berbanding tempoh percubaan asal.

3. Libatkan diri dalam aktiviti syarikat

Sama maca memahami visi dan misi syarikat, pekerja percubaan perlu rajinkan diri untuk terlibat dengan aktiviti-aktiviti syarikat. Ia adalah masa terbaik untuk lebih mengenali budaya syarikat dan merapatkan hubungan dengan rakan kerja.

Ambil masa untuk kenali setiap lapisan pekerja yang ada dalam syarikat dan cuba untuk tonjolkan diri. Pekerja percubaan perlu tunjukkan minat terhadap syarikat, dengan cara ini majikan akan rasa pekerja benar-benar semangat untuk sertai mereka.

4. Patuhi dan hormati penetapan kontrak kerja

Seperti yang dinyatakan di atas, pekerja percubaan masih dianggap seperti pekerja biasa kerana memasuki kontrak perkhidmatan, jadinya pekerja perlu menghormati syarat-syarat yang ada dalam kontrak kerja.

Ini termasuk segala peraturan seperti tempoh percubaan atau larangan kontrak melibatkan konflik kepentingan. Perlu diingatkan bahawa pematuhan syarat kontrak perkhidmatan terpakai kepada semua pekerja.

Notis Berhenti Semasa Tempoh Percubaan

Sudah jadi kebiasaan untuk pekerja meletak jawatan bila rasa diri tidak sesuai dengan tugasan yang diberi, termasuk pekerja percubaan. Ada sesetengah tunggu sehingga tamat tempoh percubaan untuk berhenti tetapi ada juga sesetengah hilang begitu sahaja.

Dalam kes pekerja percubaan yang ingin berhenti kerja, pekerja itu perlu menghantar notis berhenti kerja kepada majikan sama seperti pekerja lain. Hal ini kerana pekerja percubaan masih seorang pekerja yang memasuki kontrak perkhidmatan.

Seperti yang dimaklumkan sebelum ini juga tempoh notis ada ditulis dalam kontrak kerja dan ia diguna pakai terhadap semua pekerja termasuk pekerja percubaan.

Andai seorang pekerja percubaan itu ingin berhenti kerja selepas 1 bulan, pekerja itu masih perlu hantar notis dan jika ingin berhenti serta merta maka ganti rugi notis perlu dibayar.

Sungguhpun begitu, pekerja dinasihatkan untuk bincang dengan pegawai HR dan rujuk semula kontrak kerja sebelum buat keputusan untuk berhenti kerja. Jika terdapat masalah sebaiknya di selesaikan terlebih dahulu daripada terus berhenti.

Harapnya tip dan penerangan tentang notis berhenti kerja semasa tempoh percubaan ini dapat beri gambaran hak-hak pekerja percubaan.

Tidak kira dalam apa pekerjaan yang diceburi, tempoh percubaan ini dapat memberi ruang kepada pekerja dan perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh mana-mana pihak.

Tips HR

Tips Urus Pekerja Introvert

Zahin ByondZahin ByondMarch 25, 2024

Leave a Reply