Skip to main content

Semua sedia maklum bahawa majikan perlu memberikan slip gaji kepada pekerja setiap bulan sebaik kreditkan gaji ke dalam akaun pekerja sebagai bukti pembayaran.

Pekerja pula bertanggungjawab untuk menyemak slip gaji dengan teliti untuk memastikan jumlah gaji dan jumlah potongan-potongan wajib dibayar dengan betul mengikut persetujuan kontrak perkhidmatan.

Perkara yang sama juga perlu dilakukan pada penyata tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setiap bulan bagi memastikan caruman pekerja dan majikan dibuat dengan tepat.

i-Akaun KWSP

Sebagai recap, KWSP adalah tabung dana persaraan utama yang bertujuan untuk membantu ahlinya mencapai persaraan yang selesa. Pekerja swasta wajib untuk buat caruman seperti yang telah digariskan pada Seksyen 43(1) Akta KWSP 1991.

Terdapat beberapa syarat ditetapkan untuk pengeluaran KWSP, sama ada ahli mencapai usia perasaan atau pengeluaran khas untuk tujuan persaraan. Baru-baru ini juga kerajaan telah memberi kelonggaran untuk ahlinya mengeluarkan wang demi kelangsungan hidup.

Terdapat dua pihak yang wajib mencarum KWSP iaitu pekerja dan majikan, dan setiap ahli ada Akaun 1 serta Akaun 2 dengan pembahagian nisbah 70:30. Malah, untuk mendaftar KWSP juga sangat mudah dan boleh dibuat secara atas talian (online) sahaja sekarang ini.

Pengenalan i-Akaun KWSP adalah satu bentuk kemudahan invotif yang membolehkan pekerja mengurus akaun pesaraan mereka dengan sendiri. Antara kelebihannya adalah,

  • Membolehkan ahlinya kemaskini profil
  • Menyemak kelayakan pengeluaran, baki simpanan, penyata dan rekod caruman
  • Memudahkan ahlinya untuk membuat permohonan pengeluaran dan transaksi
  • Membantu mereka yang bekerja sendiri membuka akaun tabung perasaan

Cara Semak Penyata KWSP

Terdapat beberapa cara yang membolehkan ahlinya menyemak penyata KWSP mereka. Cara paling mudah adalah melalui pembukaan i-Akaun (Ahli) KWSP.

Sebaik memuat turun aplikasi i-Akaun, pekerja boleh mendaftar diri dengan memasukkan nombor keahlian KWSP. Sekiranya pekerja tidak pasti dengan nombor keahlian, boleh buat semakan pada laman rasmi KWSP.

Bagi yang pertama kali mengaktifkan i-Akaun, pekerja perlu mendapatkan kod pengaktifan melalui perkhidmatan mesej pesanan ringkas (SMS) selepas melayari portal rasmi KWSP. Selepas pengaktifan pekerja boleh Log Masuk pada i-Akaun (Ahli) pada aplikasi.

Untuk mereka yang sudah lama aktifkan i-Akaun (Ahli), semakan penyata boleh dibuat pada antara muka utama aplikasi tersebut. Di sini ahli boleh semak jumlah baki pada kedua-dua Akaun 1 dan Akaun 2.

Selain itu, ahli juga boleh menyemak sejarah caruman yang telah dibuat sebelum ini atau membuat penambahan caruman bagi mereka yang bekerja sendiri dan tidak bermajikan. Pekerja juga boleh muat turun penyata tahunan KWSP pada i-Akaun.

Kepentingan Penyata KWSP

Konsep penyata KWSP ini sebenarnya sama sahaja dengan slip gaji. Walaupun penyata KWSP tidak digunakan pada kebanyakan urusan seperti pinjaman atau pembiayaan tetapi sebagai ahli yang mencarum, pekerja perlu rajin menyemaknya.

Hal ini kerana berlaku beberapa kes di mana majikan kata mencarum kepada KWSP dalam slip gaji tetapi hakikatnya tidak. Bayangkan selama anda bekerja slip gaji kata caruman dibuat setiap bulan tetapi sebenarnya tiada, mesti anda akan berasa kecewa dan marah.

Seperti dinyatakan awal tadi caruman kepada KWSP adalah wajib terhadap pekerja terutamanya di sektor swasta, dan jika didapati pekerja atau majikan gagal untuk mencarum boleh dikenakan tindakan penalti termasuk penjara.

Jadinya pekerja perlu rajin semak baki caruman dalam memastikan majikan benar-benar mencarum kepada KWSP untuk pihak anda. Caruman yang dibuat ini juga adalah untuk kegunaan hati tua nanti jadi tiada salah untuk menyemaknya.

Anggap jugalah KWSP seperti tabung pelaburan jangka panjang supaya anda tidak memandangnya sebelah mata.

Leave a Reply