Skip to main content

Setiap pekerja diberikan hari cuti yang layak diterima setiap tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022. Selain itu, setiap syarikat juga berikan kuota cuti tahunan yang layak pekerja terima bergantung kepada tahun perkhidmatannya.

Tapi bagaimana jika kuota cuti yang diperuntukan kepada pekerja sudah habis, dan ada perkara mustahak yang memerlukan pekerja ambil cuti segera. Adakah beri sijil sakit (MC) palsu kepada majikan adalah satu-satunya pilihan yang ada?

Dalam kes ini biasaannya seorang pekerja boleh mohon cuti tanpa gaji atau unpaid leave (UPL) yang tidak termasuk dalam peruntukan jumlah cuti tetapi dibenarkan mengikut budi bicara majikan.

Perbezaan Cuti Bergaji dan Cuti Tanpa Gaji

Secara definisi cuti bergaji adalah bila seorang pekerja itu bercuti tetapi masih dibayar. Senang cerita anda tidak masuk pejabat untuk bekerja tapi masih dibayar gaji seperti biasa.

Di bawah Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 terdapat 6 jenis cuti yang melayakkan seorang pekerja itu dapat bayaran ketika bercuti iaitu Cuti Rehat Mingguan, Cuti Tahunan, Cuti Umum, Cuti Sakit, Cuti Bersalin dan Cuti Paterniti.

Bacaan lanjut berkenaan cuti-cuti yang melayakkan seorang pekerja tetap terima gaji boleh dibaca pada 6 jenis cuti untuk pekerja ini.

Suka diingatkan bahawa setiap pekerja berhak dapat cuti seperti Cuti Rehat Mingguan. Jika majikan meminta pekerja untuk bekerja pada hari cuti, maka pekerja tersebut layak dapat bayaran tambahan (OT).

Cuti tanpa gaji pula adalah apabila seorang pekerja yang kehabisan kouta cuti tahunannya, mengambil cuti tambahan tetapi dengan persetujuan majikan dan tidak dibayar gaji.

Secara amnya cuti tanpa gaji tidak disebut dalam Akta Kerja 1955 tetapi akta tersebut ada menetapkan bahawa seorang majikan tidak boleh memaksa pekerja untuk ambil cuti tanpa gaji secara paksaan.

Dalam kes ini, permohonan cuti tanpa gaji perlukan seorang pekerja dan majikan capai persetujuan sama untuk membenarkan pekerja bercuti tetapi dengan syarat tidak dibayar gaji ketika tempoh bercuti itu.

Seperti yang dinyatakan di atas bahawa cuti tanpa gaji tidak terkandung dalam Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022, setiap syarikat biasanya memiliki polisi tersendiri berkenaan cuti tanpa gaji.

Jadinya setiap syarikat tidak memiliki pendekatan yang sama untuk cuti tanpa gaji. Anda dinasihatkan untuk semak polisi cuti tanpa gaji dengan syarikat anda terlebih dahulu.

Pengiraan Cuti Tanpa Gaji

Umumnya, majikan perlu bayar gaji pekerja dalam tempoh 7 hari pertama setiap bulan iaitu antara 1 ke 7 haribulan. Tempoh waktu pembayaran gaji pekerja boleh dirujuk dalam Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022.

Sebelum masuk cara pengiraan gaji bagi pekerja yang ambil cuti tanpa gaji adalah lebih baik untuk anda tahu cara asas pengiraan gaji bulanan pekerja.

Cara pengiraan gaji pekerja setiap bulan adalah seperti berikut:

Gaji Kasar / Jumlah Hari Dalam Bulan X Jumlah Hari Pekerja Bekerja

Contohnya: RM2,000 (Gaji Kasar) / 30 (Hari Dalam Sebulan) = RM66.67 X 24 (Hari Pekerja Bekerja Sebulan) = RM1,600 (Gaji Pokok Pekerja).

Perlu diingatkan bahawa gaji pokok pekerja ini tidak termasuk caruman-caruman wajib.  Rujukan cara pengiraan gaji pekerja dan caruman boleh dibuat pada artikel cara pengiraan gaji pekerja.

Cara pengiraan gaji pekerja yang ambil cuti tanpa gaji atau bekerja tidak cukup bulan pula adalah seperti berikut:

Gaji Kasar / Jumlah Hari Bekerja Dalam Bulan X Jumlah Hari Pekerja Ambil Cuti Tanpa Gaji

Contohnya: RM2,000 (Gaji Kasar) / 23 (Hari Bekerja Dalam Bulan) = RM86.96 X 5 (Hari Pekerja Ambil Cuti Tanpa Gaji) = RM434.78.

Di sini anda perlu faham bahawa jumlah hari dalam bulan tersebut bergantung kepada 28/29/30/31 mengikut jumlah hari pada bulan.

Kini anda sudah faham berkenaan perbezaan dan cara mengira gaji bagi pekerja yang mengambil cuti tanpa gaji atau bekerja tidak cukup bulan.

Sekali lagi diingatkan bahawa cuti tanpa gaji ini tidak digariskan dalam Akta Kerja 1955 tetapi setiap syarikat memiliki polisinya tersendiri. Ia juga bergantung kepada persetujuan antara pekerja dan majikan.

Sebaiknya anda dinasihatkan untuk menggunakan cuti tahunan yang diberikan sebaiknya, dan elak memohon cuti tanpa gaji kerana anda tidak akan dapat bayaran untuk cuti tersebut.

Leave a Reply