Skip to main content

Pindaan Akta Kerja 1955 pada tahun 2022 terdahulu telah menyentuh pelbagai fasal seperti waktu bekerja, peningkatan jumlah cuti bersalin dan cuti paterniti, dan sebagainya.

Antara yang menarik perhatian ramai adalah tentang isu penambahan minima gaji pekerja. Sebelum ini, 56 bandar utama yang tersenarai perlu membayar gaji pekerja minima sebanyak RM1,100, manakala selain itu kadar gaji minima dibayar adalah RM1,200.

Walau bagaimanapun, susulan pindaan akta yang dibuat, kategori majikan yang menggajikan pekerja kurang dari lima orang perlu membayar minima gaji sebanyak RM1,500. Tetapi, penguatkuasaan akta tersebut ditangguhkan ke Julai 2023.

Majikan perlu mengambil perhatian bahawa penangguhan tersebut hanya untuk majikan yang menggajikan pekerja kurang dari 5 orang. Jika anda sebagai majikan yang menggajikan lebih dari lima orang, penguatkuasaan minima gaji RM1,500 adalah wajib bermula 1 Mei 2022 lalu.

Jika anda seorang pekerja dan menerima gaji kurang dari jumlah sepatutnya, adukan ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JKTM).

Jangan biarkan anda ditindas oleh majikan!

Bagaimana cara kira gaji pekerja sebetulnya?

Dalam pengurusan gaji, sesetengah majikan tidak mengambil pusing cara pengiraan yang betul dan tepat. Ada di antara majikan yang hanya mengambil kira gaji kasar bulanan pekerja serta carum tanpa mengetahui SOP kiraan gaji yang tertakluk di dalam akta.

Jika anda sebagai majikan didapati membayar gaji pekerja tidak tertakluk di dalam akta, lambat laun anda bakal didenda dan bersedialah membayar cukai atas kecuaian yang anda sendiri lakukan. Syarikat anda juga yang rugi!

Jom semak cara kiraan gaji pekerja yang betul!

(i) Kira Kedatangan Pekerja

Umumnya, gaji pekerja anda tidak akan sama setiap bulan sekiranya mereka tidak memenuhi kedatangan yang telah ditetapkan pada bulan tersebut. Sebagai seorang majikan atau HR yang peka, anda perlu menyemak setiap bulan sama ada pekerja anda mengambil MC, emergency leave (EL), atau cuti tanpa sebab yang munasabah.

Jika jumlah MC tahunan yang telah diperuntukkan oleh syarikat anda telah habis digunakan oleh pekerja, penolakan gaji boleh dilakukan mengikut jumlah ketidakhadiran mereka. Walau bagaimanapun, penolakan gaji ini masih boleh dielakkan atas budi bicara anda sebagai majikan.

Mengenai EL pula, tidak semua polisi syarikat memperuntukkannya untuk pekerja. Jadi, sebagai majikan, anda juga boleh menolak gaji pekerja yang kerap mengambil EL tanpa menunjukkan sebab dan bukti yang kukuh.

Namun, rata-rata syarikat kini menetapkan jumlah EL yang boleh diambil oleh pekerja bagi memudahkan mereka mengurus dan menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, jika berlaku kematian atau ada ahli keluarga mereka yang sakit.

Formula untuk kiraan gaji pokok setelah mengambil kira kehadiran mereka adalah seperti berikut:

Gaji Kasar Pekerja / Jumlah Hari Dalam Bulan x Jumlah Hari Pekerja Bekerja

Contoh: RM2,000 / 30* = RM66.67 x 24 = RM1,600

*Jumlah hari ini bergantung kepada jumlah hari dalam bulan (28/29/30/31)

RM1,600 tersebut adalah gaji pokok pekerja dan jumlah yang perlu anda carum.

(ii) Caruman Wajib Untuk Pekerja

Sebagai majikan, anda wajib mengetahui tiga caruman wajib atas pekerja. Caruman ini wajib majikan dan pekerja bayar setiap bulan.

  • Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Caruman KWSP, iaitu EPF seharusnya dibayar oleh majikan sebanyak 13% dari jumlah gaji pokok pekerja, manakala 11% akan ditolak dari gaji pokok pekerja tadi. Caruman ini tertakluk di dalam Seksyen 43(1), Akta KWSP 1991 yang menetapkan tiap-tiap pekerja dan majikan kepada seseorang yang merupakan seorang pekerja mengikut pengertian akta ini hendaklah bertanggungjawab membayar caruman bulanan berkenaan dengan amaun upah bagi bulan itu pada kadar yang masing-masingnya dinyatakan dalam Jadual Ketiga.

Cara kiraannya seperti berikut (ambil contoh seperti di atas):

13% x Gaji Pokok Pekerja (caruman yang wajib dibayar oleh majikan)

11% x Gaji Pokok Pekerja (caruman yang ditolak dari gaji pekerja)

13% x RM1,600 = RM208 dan 11 % X RM1,600 = RM176

  • Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

PERKESO ditubuhkan bagi mentadbir dan melaksanakan skim keselamatan sosial di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Terdapat dua caruman yang wajib dibayar di bawah PERKESO iaitu SOCSO dan SIP.

Mari kita kira SOCSO terlebih dahulu. Untuk SOCSO jumlah caruman oleh majikan dan pekerja adalah sedikit berbeza berbanding KWSP kerana mengikut tangga gaji pekerja yang telah ditetapkan oleh SOCSO. Kita ambil contoh gaji pokok sebentar tadi sebanyak RM1,600 dan rujuk tangga gaji pekerja SOCSO.

Gaji pokok tersebut jatuh dalam kategori “Gaji melebihi RM1,500 tetapi tidak melebihi RM1,600”. Jadi syer majikan adalah sebanyak RM27.15, manakala syer pekerja sebanyak RM7.75.

Sistem Insurans Pekerja (SIP) pula adalah caruman terbaru PERKESO yang menetapkan caruman syer majikan dan pekerja adalah sama iaitu sebanyak 0.2% daripada gaji pokok pekerja. Ini bermakna, syer majikan dan pekerja adalah sebanyak RM3.20 jika mengambil contoh dari gaji pokok RM1,600 tadi (Gaji Pokok Pekerja x 0.2%)

Jadi, berapa jumlah gaji yang perlu disediakan untuk pekerja?

Masih ingat cara kiraan gaji tadi? Sebagai kesimpulan, gaji yang perlu disediakan untuk pekerja oleh majikan adalah:

Gaji Pokok + EPF + SOCSO + SIP

Kita boleh ambil contoh gaji pokok RM1,600 tadi.

RM1,600 + RM208 + RM27.15 + RM3.20 = RM1,838.55 (majikan perlu sediakan)

Ini adalah jumlah yang perlu majikan sediakan untuk pekerja, tetapi jumlah yang pekerja dapat setelah penolakan carum, pekerja tersebut akan mendapat jumlah seperti kiraan berikut:

Gaji Pokok – EPF – SOCSO – SIP = Gaji Bulanan

RM1,600 – RM176 – RM7.75 – RM3.20 = RM1413.05 (gaji bulanan pekerja)

Bagaimana pula dgn bayaran OT, elaun, komisyen, serta tuntutan?

Rata-rata majikan syarikat swasta membayar bayaran OT, elaun, komisyen serta tuntutan pada setiap 15 haribulan, iaitu pertengahan bulan. Jika majikan membayar pada 1 haribulan setiap bulan, bayaran OT, elaun, komisyen dan tuntutan tersebut akan dikira sekali dalam gaji pokok.

Tempoh Pembayaran Gaji

Kira-kira dah, jadi bila pembayaran boleh dilakukan?

Tertakluk di dalam Seksyen 18 Akta Kerja 1955, tempoh pembayaran gaji tidak boleh melebihi satu bulan dan mengikut Seksyen 19 dalam akta, tempoh pembayaran tersebut tidak boleh lewat daripada hari ketujuh selepas hari terakhir bagi mana-mana tempoh upah.

Jangan lupa juga, pembayaran gaji perlulah mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022.

Majikan disyorkan membayar gaji pekerja di antara tempoh 1 hingga 5 haribulan setiap bulan untuk memastikan laporan kewangan syarikat lebih cantik dan teratur.

Pekerja saya sudah berhenti atau diberhentikan kerja, jadi bagaimana dengan pembayaran gaji?

Jika pekerja anda diberhentikan kerja oleh syarikat, pembayaran gaji perlu dilakukan pada hari tamatnya perkhidmatan pekerja tersebut (Seksyen 20(1), Akta Pekerja 1955). Sebagai contoh, jika pekerja anda diberhentikan pada 6/3, maka pembayaran gaji perlu dilakukan pada 6/3 juga.

Sebagai tambahan, bayaran ganti rugi notis jika diberhentikan khidmat serta merta dan faedah penamatan kerja jika pekerja bekerja sekurang-kurangnya genap setahun perlu dibayar serentak mengikut kes diberhentikan kerja .

Cara Pembayaran Gaji

Majikan perlu menyediakan penyata gaji kepada pekerja sepertimana tertakluk di dalam Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Kerja 1957. Kegagalan berbuat demikian, boleh dikenakan denda jika pekerja membuat aduan ke Jabatan Buruh.

Pembayaran gaji kepada pekerja wajib dilakukan melalui akaun bank pekerja seperti yang tertakluk di dalam Seksyen 25 akta. Walau bagaimanapun, majikan boleh membayar gaji pekerja menggunakan cek atau secara tunai dengan syarat mendapat surat persetujuan dari pekerja sendiri.

Gaji pekerja perlu dibayar penuh tanpa ada potongan selain yang dibenarkan dalam akta (Seksyen 24, Akta Pekerja 1955).

Pengurusan Gaji Di Sistem MySyarikat

Sekiranya anda masih ragu-ragu dalam pengiraan jumlah gaji pekerja, cepat dapatkan bantuan dari kami di MySyarikat. Sistem MySyarikat lengkap dengan pengurusan pembayaran gaji pekerja yang akan membantu anda menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan pembayaran gaji dan pengiraan jumlah gaji sebenar.

Jom kami bantu!

18 Comments

  • abu zar bin ariffin says:

    boleh ke basic gaji di tolak utk syarikat byr epf

    • Zahin Byond says:

      Penetapan Akta Kerja 1955 menggariskan bahawa majikan tidak boleh membuat sebarang potongan pada upah (gaji) pekerja kecuali untuk potongan yang dibenarkan seperti caruman ke dalam KWSP, PERKESO dan SIP.

  • bonda says:

    selamat pagi,

    penolakan EPF adalah berdasarkan gaji pokok kan?
    jika terdapat unpaid leave maksudnya gaji pokok tolak unpaid leave baru tolak EPF (perkerja) atau melalui gaji pokok?

    • Zahin Byond says:

      Caruman KWSP adalah wajib seperti yang dinyatakan dalam Akta Kerja 1955. Rujukan lanjut mengenai jenis potongan yang dianggap KWSP buat boleh dirujuk pada laman rasmi KWSP sendiri.

  • joenna says:

    salam..boleh ke bilangan cuti sakit menjejaskan bonus?

    boleh ke buat aduan tentang pembayaran gaji dibuat pada hari ketujuh selepas hari

    terakhir bulan yang lepas tetapi kemasukan gaji ke dalam akaun dalam linkungan jam 6

    ptg ke atas?

    • Zahin Byond says:

      Untuk persoalan pertama cuti sakit tidak boleh menjejaskan gaji sahaja, sementara pemberian bonus adalah berdasarkan polisi syarikat. Bagi soalan kedua pula majikan tidak boleh bayar gaji lewat daripada 7 hari dalam bulan baru.

  • yusrina says:

    untuk pembayaran gaji pro rate, bagaimana kiraan untuk kwsp, socso &eis

  • nur azwani says:

    jika pekerja perlu kerja isnin-jumaat 8am-5pm dan sabtu 8am-12pm, pekerja cuti tanpa gaji pada hari sabtu, potongan gaji sabtu tersebut dikira 1 hari atau setengah hari?

  • Nadiah says:

    Jika pekerja kerap lewat dan ambil cuti separuh hari. Adakah penolakan boleh dilakukan?

    • Zahin Byond says:

      Majikan tidak boleh tolak gaji pekerja sesuka hati. Tetapi untuk pekerja yang dibayar harian jika tidak hadir bekerja atau lewat maka jumlah pembayaran mungkin kurang. Selain itu, mereka yang ambil unpaid leave juga boleh memberi kesan kepada gaji.

  • Aida says:

    bagaimana untuk kira hari bekerja bagi gaji pokok. sekiranya hari bekerja syarikat 6 hari bekerja 1 hari cuti (ahad)dalam seminggu. cth RM (1500/30) x 26 (adakah kiraan hari bekerja termasuk ahad sekali?)

  • Addyking says:

    Ingin bertanya…

    1.Klu basic rm 1500…rate ot berapa? 1jam

    2.kerja 8 jam.. Lepas 8 jam kerja bayaran kira ot atau part time?

    Tk.

    • Zahin Byond says:

      OT akan dikira selepas waktu kerja biasa.

      OT pada hari kerja: 1.5 x kadar upah sejam
      OT pada hari rehat: 2.0 x kadar upah sejam
      OT pada cuti umum: 3.0 x kadar upah sejam

      Pengiraan: Upah bulanan/26 x bilangan jam bekerja x kadar OT

  • andi says:

    Slm Encik… bolehkah majikan menolak 13% dari elaun? contoh: elaun bulanan RM 300..tolok 13% menjadi RM 265.49 majikan menyatakan 13% tersebut adalah untuk KWSP. minta encik berikan pencerahan. Terima kasih.

Leave a Reply