Skip to main content

Pindaan Akta Pekerja 1955 pada tahun 2022 di parlimen telah memperuntukkan jumlah minimum cuti tertentu yang meliputi semua pekerja kecuali daripada seksyen seperti peruntukan kerja lebih masa (overtime), atau faedah pemberhentian. Selain itu, akta ini juga hanya diperuntukkan kepada pekerja tertentu sahaja seperti pekerja yang bekerja dalam pekerjaan manual, mahupun pekerja yang diberi gaji bulanan kurang dari RM4,000.

Percaya tak bahawa bukan semua pekerja tahu berkaitan cuti yang berhak untuk mereka. Jadi, hari ini kami akan berkongsikan 6 jenis cuti yang berhak untuk pekerja mengikut Akta Pekerja 1955.

1. Cuti Rehat Mingguan

Mana-mana pekerja perlu dibenarkan untuk mendapat sekurang-kurangnya satu hari rehat pada setiap minggu. Ini termaktub di dalam Akta Pekerja 1955 Bahagian 59. Jika pekerja diarah oleh majikan untuk bekerja pada hari tersebut, bayaran tambahan perlu dibuat (rujuk Seksyen 60(3) Akta Kerja 1955).

Kalau anda merupakan seorang pekerja dan tidak pernah mendapat cuti rehat pada setiap minggu bekerja, anda boleh adukan isu ini ke Jabatan Buruh. Anda seharusnya cakna tentang pindaan akta terkini supaya majikan tidak sewenang-wenangnya menggunakan tenaga kerja anda dengan percuma!

2. Cuti Umum Bergaji

Ha, anda masih ingat tak cuti sempena Tahun Baru Cina 2023 baru-baru ini?

Cuti kelepasan am Tahun Baru Cina jatuh pada 22 Januari bersamaan hari Ahad, jadi cuti pada hari tersebut dipinda ke hari berikutnya (Isnin). Namun, memandangkan hari Isnin tersebut juga merupakan cuti umum untuk Tahun Baru Cina, maka dipinda lagi ke hari berikutnya, iaitu Selasa. Pelbagai isu dan persoalan berbangkit berkenaaan cuti Tahun Baru Cina ini tetapi tidak menjadi masalah jika semua pekerja cakna dengan akta yang telah ditetapkan kerajaan.

Mesti anda tertanya-tanyakan hari apa sahaja yang menjadi cuti umum atau kelepasan am untuk pekerja, kan? Untuk pengetahuan anda, bahagian 60D di dalam akta memperuntukkan 11 hari cuti umum berbayar dan antara 5 daripadanya adalah:

  • Hari Kemerdekaan;
  • Hari Keputeraan Yang Di-Pertuan Agong;
  • Hari Keputeraan Yang Di-Pertua Negeri atau Pemerintah;
  • Hari Buruh; dan
  • Hari Malaysia.

Di samping itu, menurut Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951, pekerja berhak mendapat cuti kelepasan am pada mana-mana hari yang telah ditetapkan pada tahun tersebut.

3. Cuti Tahunan Bergaji

Mengikut Seksyen 60E (3B) termaktub di dalam Akta kerja 1955, bilangan cuti tahunan yang diperuntukkan tidak sah sekiranya pekerja gagal hadir bekerja tanpa alasan munasabah sebanyak 10% daripada jumlah kehadiran sepatutnya bagi tahun perkhidmatan semasa.

Bahagian yang sama juga menerangkan jumlah cuti tahunan yang berhak ke atas pekerja iaitu:

  • 8 hari untuk pekerja yang bekerja kurang dari 2 tahun;
  • 12 hari untuk pekerja yang genap 2 tahun bekerja dengan majikan, tetapi kurang dari 5 tahun; dan
  • 16 hari untuk perkhidmatan melebihi 5 tahun atau lebih.

Tinggal berapa lagi baki cuti tahunan anda tahun ini?

4. Cuti Sakit Bergaji

Jangan tak tahu pula, sekiranya anda jatuh sakit, anda layak mendapat cuti bergaji. Menurut Seksyen 6F, Akta Pekerja 1955, pekerja berhak menerima cuti sakit seperti tertera di bawah:

  • Perkhidmatan kurang 2 tahun, 14 hari;
  • Genap 2 tahun tetapi kurang dari 5 tahun, 18 hari;
  • 5 tahun dan lebih, 22 hari.

Sebagai tambahan, jika pekerja memerlukan rawatan di hospital, dia berhak mendapat cuti bergaji tidak melebihi 60 hari. Perlu diingatkan ya, kelayakan cuti sakit ini tidak boleh diproratakan jika pekerja meninggalkan syarikat pada tahun tersebut.

5. Cuti Bersalin

Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 telah meluluskan fasal 12 iaitu pemanjangan cuti bersalin untuk pekerja wanita yang mengandung sebanyak 98 hari. Mereka juga berhak mendapat elaun bersalin dengan kadar gaji biasa mengikut syarat kelayakan seperti berikut:

  • Anak tidak melebihi 5 orang;
  • Dalam perkhidmatan tidak kurang dari 90 hari (3 bulan) dalam tempoh 9 bulan mengandung;
  • Diambil bekerja dalam tempoh 4 bulan sebelum bersalin;
  • Memaklumkan tarikh mula bersalin dalam tempoh 60 hari sebelum (jika tidak ada makluman, majikan berhak menyekat elaun bersalin);
  • Usia kandungan tidak kurang 22 minggu (5 bulan 14 hari) – sama ada bersalin, gugur, hidup atau mati.

Bagaimana pula dengan pasangan mereka? Rujuk maklumat di bawah.

6. Cuti Paterniti

Jika pekerja wanita mendapat kelayakan cuti materniti atau cuti bersalin, pasangan mereka pula iaitu pekerja lelaki berhak mendapat cuti paterniti. Cuti ini khas untuk pekerja lelaki dalam penjagaan isteri dan anaknya yang baru dilahirkan dengan tempoh secukupnya. Tambahan pula, cuti paterniti ini amat penting dalam membantu pengawalan emosi isteri serta menunjukkan tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga.

Menurut pindaan 60FA akta yang telah diluluskan di dalam Dewan Rakyat, pekerja lelaki yang telah berkahwin layak mendapat cuti paterniti sebanyak 7 hari pada kadar gaji biasa mereka dengan syarat:

  • Terhad kepada 5 kali berpantang;
  • Berkhidmat dengan majikan yang sama sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum permulaan cuti; dan
  • Memaklumkan kepada majikan tentang kehamilan 30 hari dari jangkaan berpantang atau seawal mungkin selepas kelahiran.

Penetapan Kelayakan Cuti di MySyarikat

Anda sudah jelas bukan dengan kelayakan cuti yang berhak ke atas pekerja mengikut Akta Pekerjaan 1955?

Sebenarnya, ada juga cuti yang lain yang tidak digubal di dalam akta seperti cuti kecemasan, cuti belajar, cuti sukarelawan, dan sebagainya. Cuti-cuti tersebut tidak dinyatakan di dalam akta tetapi sekiranya anda mahu semak jika majikan anda menetapkan cuti-cuti tersebut, anda boleh rujuk polisi syarikat anda bekerja.

Kini, penetapan kelayakan serta permohonan cuti syarikat anda akan lebih mudah jika anda menggunakan perkhidmatan kami di MySyarikat.

Semuanya hanya di hujung jari. Jom daftar dengan MySyarikat sekarang!

12 Comments

  • Zainudin Ismail says:

    Boleh ke syarikat menolak permintaan cuti tahunanpada bulan April kerana telah mengambil cuti 4hari dI bulan February? Alasan syarikat menetapkan section pengambilan cuti
    contoh jika cuti tahunan layak 8 hari syarikat membahagikan kepada 4 section untuk 1tahun jadi kerana telah habis ambil cuti pada section pertama tidak dibenarkan ambil cuti lagi?
    Apa tindakan yg blh sy buat ?

    • Zahin Byond says:

      Cuti tahunan merupakan hak pekerja dan ini telah dinyatakan dalam Akta Kerja 1955. Ini bermakna pekerja berhak untuk menggunakan kelayakan cuti mereka mengikut jumlah yang ditetapkan.

  • anursha84 says:

    boleh ke syarikat tak ambil cuti umum jika dalam sebulan ade 2 cuti umum untuk december hari sultan selangor dan krismas. syarikat hanya mengambil sultan selangor dan krismas tak ambil tapi kena kerja tanpa bayar double

    • Zahin Byond says:

      Di dalam Akta Kerja ada menyatakan penetapan tempoh waktu cuti yang sesebuah syarikat untuk ambil; 5 hari cuti wajib dan 6 hari cuti pilihan.

  • Ibrahim Yusop says:

    Apakah pekerja yang baru bekerja 2 bulan sudah tetap jawatan layak ada cuti tahunan?

    Dan jika ambil cuti boleh Di katakan cuti tahunan bukan cuti tanpa gaji?

    • Zahin Byond says:

      Akta Kerja 1955 menggariskan bahawa setiap pekerja yang sudah melengkapkan tempoh perkhidmatan 12 bulan layak untuk menggunakan cuti tahunan berdasarkan jumlah yang ditetapkan. Bergantung kepada polisi syarikat sesetengah mungkin prorata cuti tahunan pekerja atau benarkan pekerja menggunakan cuti selepas tamat tempoh percubaan.

  • RIDZUAN BIN MORSHIDI says:

    Adakah Pekerja di bawah bidang pengawal keselamatan..di bawah organisasi polisi sesebuah syarikat..tidak memberi cuti rehat.dan perlu bekerja 365hari setahun kecuali Cuti sakit..Minta penjelasan..

    • Zahin Byond says:

      Perkerja yang memasuki kontrak kerja bersama majikan dilindungi oleh Akta Kerja 1955, dan ini bermakna segala hak yang digariskan undang-undang berkuatkuasa atas pekerja serta majikan seperti cuti, gaji dan notis penamatan kontrak.

  • Mieza says:

    Saya ingin bertanya tentang cuti rehat mingguan.
    Adakah pekerja layak mendapat satu hari cuti rehat walaupun dalam seminggu itu hanya bekerja sebanyak 2 hari sahaja . minimum cuti rehat dalam seminggu berapa hari bekerja ?

    • Zahin Byond says:

      Dalam Akta Kerja 1955 menyatakan dalam tempoh bekerja seminggu, majikan wajib untuk memberikan sekurang-kurangnya 1 hari cuti (har rehat) kepada pekerja. Penetapan ini telah dinyatakab pada Seksyen 59.

  • Dayana says:

    Adakah cuti kuarantin kerana menjaga anak sakit, akan ditolak cuti tahunan ? Bagaimana kalau cuti tahunan pula sudah habis digunakan ? – pekerja swasta

    • Zahin Byond says:

      Akta Kerja tidak menetapkan sebarang cuti berkaitan kuarantin, melainkan cuti sakit atau cuti hospitalisasi. Jadi di sini pekerja yang ingin bercuti perlu menggunakan cuti tahunan atau berdasarkan polisi syarikat mungkin boleh mengambil cuti ehsan atau cuti kecemasan.

Leave a Reply