Skip to main content

Sebelum ini, kami ada sediakan satu artikel untuk anda tentang caruman EPF, SOCSO dan yang terbaru, SIP (caruman di bawah PERKESO). Menurut artikel tersebut, caruman EPF untuk pekerja warga asing adalah pilihan sahaja. Majikan tidak wajib mencarum untuk pekerja warga asing melainkan mendapat persetujuan dari pekerja tersebut. Ini bermaksud, kedua-dua pihak (majikan dan pekerja asing tersebut) perlu bersependapat sekiranya ingin membuat caruman.

Lalu bagaimana pula dengan caruman PERKESO? Adakah pekerja warga asing juga wajib dicarum seperti pekerja warganegara? Ha, itu persoalan yang kami akan kupas dalam artikel kali ini. Baca sampai habis maklumat penting yang kami akan sampaikan ini, ya!

Apa itu Skim Bencana Pekerjaan PERKESO?

Skim Bencana Pekerjaan PERKESO memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan atau menghidapi suatu penyakit yang berpunca daripada pekerjaannya. Ini termasuk perlindungan:

  1. Kemalangan semasa bekerja iaitu kemalangan yang berlaku ketika menjalankan urusan kerja atau ketika berada di tempat kerja;
  2. Kemalangan semasa dalam perjalanan iaitu kemalangan yang berlaku ketika pekerja dalam perjalanan ke tempat kerja dari kediamannya, atau di antara tempat kerja ke tempat makan semasa waktu rehat yang dibenarkan;
  3. Kemalangan semasa kecemasan iaitu kemalangan yang berlaku ketika pekerja tersebut berada dalam atau berdekatan mana-mana tempat premisnya dengan tujuan menyelamatkan, membantu atau melindungi orang yang berada dalam kecemasan atau bahaya; dan
  4. Penyakit khidmat iaitu penyakit yang dihidapi pekerja berpunca daripada pekerjaannya seperti yang termaktub dalam Jadual Kelima, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Bukan itu sahaja, pekerja yang mencarum di bawah skim ini layak mendapat faedah-faedah berikut:

  • Faedah Perubatan;
  • Faedah Hilang Upaya Sementara;
  • Faedah Hilang Upaya Kekal;
  • Elaun Layanan Sentiasa;
  • Kemudahan Pemulihan Jasmani/Vokasional;
  • Faedah Orang Tanggungan;
  • Faedah Pengurusan Mayat; dan
  • Faedah Pendidikan.

Nampak tak kepentingan mencarum PERKESO dan mengapa kerajaan mewajibkan caruman ini ke atas pekerja? Sekiranya majikan anda masih belum mencarum PERKESO untuk pekerja dibawahnya, anda boleh isukan masalah ini kepada Jabatan Buruh atau pihak PERKESO untuk tindakan lanjut. Ini semua adalah hak anda sebagai pekerja.

Skim Bencana Kerja Pekerja Asing

Tetapi, kali ini kita bukan nak mengupas tentang skim bencana sahaja. Kita nak lihat sejauh mana kepentingan Skim Bencana Kerja Pekerja Asing terhadap sesebuah syarikat atau majikan.

Semasa pelancaran Program Seranta PERKESO untuk pekerja asing peringkat negeri yang diadakan di Pahang pada tahun 2019, Pengarah PERKESO Pahang (tahun berkenaan), Tarmizi Mukhtar menyatakan bahawa semua majikan yang menggajikan pekerja warga asing dengan dokumen sah perlu mendaftarkan pekerja mereka di bawah Skim Bencana Kerja Pekerja Asing mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) berkuatkuasa 1 Januari 2020.

Selain itu, sama seperti Skim Bencana Pekerjaan sebelum ini, skim ini menyediakan perlindungan untuk pekerja asing yang ditimpa kemalangan semasa bekerja atau menghidapi penyakit berpunca dari pekerjaan atau sewaktu berada di tempat kerja.

Kadar Caruman

Kalau nak tahu, skim ini berbeza dengan skim yang lain kerana skim ini hanya perlu dibayar oleh majikan.

Kadar caruman yang perlu dibayar adalah sebanyak 1.25% daripada gaji bulanan yang dibayar kepada pekerja. Jumlah caruman tersebut boleh dirujuk di portal PERKESO pada Jenis Kedua dalam jadual caruman.

Syarat-syarat Kelayakan

Majikan tidak perlu semberono mencarum kepada pekerja asing sebelum menyemak syarat kelayakan ini yang telah ditetapkan oleh PERKESO terlebih dahulu.

  • Pekerja asing yang sedia ada perlulah memiliki pasport, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) atau pas kerja yang sah.
  • Manakala, pekerja asing yang baharu perlulah mempunyai pasport dan pas khas.

Bagaimana Proses Pendaftarannya?

Proses pendaftaran untuk skim ini melalui dua cara iaitu:

  1. Pendaftaran secara atas talian melalui Portal ASSIST PERKESO; atau
  2. Pendaftaran secara langsung di kaunter PERKESO yang terdekat melalui Borang Pendaftaran Pekerja Asing/Borang Pendaftaran Pekerja Domestik.

Selepas pendaftaran tersebut, PERKESO akan menjana Nombor Keselamatan Sosial Pekerja Asing (SSFW No.) untuk kegunaan kedua-dua pihak (majikan dan pekerja asing) serta sebagai bukti pendaftaran untuk caruman pekerja asing tersebut.

Bagaimana Pula Dengan Pekerja Asing Yang Telah Berdaftar Dengan Skim Pampasan Pekerja Asing (SPPA)?

Skim Pampasan Pekerja Asing (SPPA) ini merupakan pampasan pekerja asing tertakluk di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952 (Akta 273) yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) pada April 1933.

Untuk pekerja asing yang sudah berada di Malaysia sebelum berkuatkuasanya akta baru pada 1 Januari 2020 tersebut dan masih di bawah perlindungan SPPA yang sah, mereka perlu didaftarkan oleh majikan sehari selepas tamat tempoh matang SPPA yang tertakluk kepada tarikh akhir (cooling period) pada 31 Disember 2019. Mulai 1 Januari 2020, majikan perlu memastikan semua pekerja asing di bawah kelolanya berdaftar dengan SBKPA di bawah PERKESO.

Kami pasti pekerja asing kini sudah pun berdaftar dengan sah dibawah perlindungan skim ini.

Faedah-faedah Skim Bencana Kerja Pekerja Asing

Seperti skim yang lain di bawah PERKESO, SBKPA ini juga memberi manfaat penuh kepada pekerja asing tersebut dan majikannya.

FaedahButiran
Faedah PerubatanPekerja asing yang mencarum di bawah skim ini boleh mendapat rawatan perubatan secara percuma di klinik panel PERKESO atau klinik dan hospital kerajaan; atau layak membuat tuntutan bayaran ganti belanja kos rawatan perubatan di Pejabat PERKESO.

Bayaran Ganti Belanja adalah tuntutan yang boleh dibuat oleh pekerja asing atau majikan sekiranya mendapatkan rawatan selain di klinik panel PERKESO termaktub kepada Akta Fi 1951.
Faedah Hilang Upaya SementaraFaedah ini hanya akan dibayar sepanjang cuti sakit pekerja asing tersebut yang disahkan oleh doktor dan mestilah sekurang-kurangnya 4 hari termasuk hari kemalangan dan tidak akan dibayar sekiranya pekerja hadir bekerja dan dibayar gaji.

Kadar harian faedah ini adalah sebanyak 80% daripada gaji harian tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM132.00 sehari.
Faedah Hilang Upaya KekalKadar harian faedah ini adalah sebanyak 90% daripada gaji harian tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM148.50 sehari. Pekerja atau majikan hanya boleh membuat tuntutan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh terakhir hilang upaya sementara.
Elaun Layanan SentiasaJumlah bayaran elaun ini adalah sebanyak RM500.00 sebulan dan hanya dibayar kepada pekerja asing yang menerima taksiran hilang upaya langsung yang kekal (100 peratus) dengan pengesyoran Jemaah Doktor, Jemaah Doktor Khas atau Jemaah Doktor Rayuan.
Kemudahan PemulihanKemudahan ini hanya diberikan kepada pekerja asing yang memerlukan bentuk pemulihan jasmani dan akan ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO mengikut kadar yang telah ditetapkan.
Faedah Orang TanggunganFaedah ini akan diberikan kepada orang tanggungan sekiranya pekerja asing tersebut meninggal dunia akibat bencana semasa bekerja. Kadar harian faedah ini adalah sebanyak 90% daripada gaji harian tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM148.50 sehari. Senarai orang tanggungan dan kadar syer boleh dirujuk di portal PERKESO.
Faedah Pengurusan MayatPembayaran faedah ini akan diberikan kepada waris yang layak atau mereka yang mengurus dan menanggung kos pengebumian. Jumlah bayaran adalah jumlah sebenar perbelanjaan ataupun maksimum amaun bayaran mengikut mana yang lebih rendah berdasarkan resit yang dikemukakan.
Kos Penghantaran Pulang JenazahPembayaran faedah ini akan diberikan kepada waris yang layak atau mereka yang mengurus dan menanggung kos pengebumian. Jumlah bayaran adalah jumlah sebenar perbelanjaan ataupun maksimum amaun bayaran mengikut mana yang lebih rendah berdasarkan resit yang dikemukakan.

Sekiranya kematian berlaku di Malaysia dan pengebumian di negara asal, jumlah maksimum yang akan dibayar adalah sebanyak RM6,500.00 manakala jika kematian dan pengebumian berlaku di negara asal, amaun maksimum sebanyak RM2,000 akan dibayar.

Tetapi, jika kematian bukan disebabkan bencana kerja, kos maksimum yang akan dibayar adalah sebanyak RM4,500 mengikut resit (tertakluk kepada perubahan semasa) berdasarkan pekeliling majikan.

Penting Ke Skim Ini?

Banyak bukan faedah yang akan pekerja asing dapat sekiranya majikan ada rasa tanggungjawab untuk pekerja yang berdaftar sah di bawahnya? Jadi, sekiranya tiada caruman yang dibuat oleh majikan anda, laporkan kepada pihak berkuasa atau jika ada terdapat sebarang kemusykilan boleh hubungi khidmat pelanggan PERKESO atau lawati mana-mana kaunter PERKESO yang terdekat.

Sekiranya anda masih mempunyai persoalan sama ada skim ini penting atau tidak untuk majikan dan pekerja asing, jawapannya adalah ya!

Skim yang diperkenalkan dibawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ini bukan sahaja memberi manfaat untuk pekerja warga asing, malah turut membantu majikan dalam mengurangkan kos rawatan dan perubatan sekiranya pekerja asing terbabit terlibat dalam kemalangan semasa bekerja.

Jadi, sebagai majikan yang bertanggungjawab, jangan lupa carum skim ini untuk pekerja asing di bawah anda. Sekiranya anda mempunyai kesukaran untuk membuat caruman tersebut secara automatik, hubungi kami di MySyarikat kerana sistem yang kami sediakan adalah sangat mudah dan pantas untuk digunakan untuk kemajuan syarikat anda.

Jom hubungi MySyarikat segera!

Leave a Reply