“PERKESO ada caruman untuk mereka yang bekerja sendiri ke?”
Artikel sebelum ini telah membincangkan mengenai Skim Perlindungan PERKESO untuk mereka yang bekerja di bawah majikan, dan untuk pekerja warga asing. Tetapi yang kerap menjadi persoalan adalah, bagaimana pula dengan mereka yang bekerja sendiri? Contohnya seperti pengusaha makanan, ejen barangan atas talian, peniaga atas talian, penghantar makanan dan sebagainya. Adakah mereka tidak dilindungi seperti pekerja-pekerja yang lain memandangkan mereka bekerja sendiri?
Tidak! Mereka juga dilindungi oleh skim perlindungan PERKESO.
Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS)
Kalau anda nak tahu, bermula pada bulan Jun 2017, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 telah diperkenalkan. Pada 1 Jun 2017, skim ini mula berkuatkuasa dan mewajibkan Sektor Pengangkutan Penumpang iaitu e-hailing, pemandu teksi, dan pemandu bas untuk mula mencarum dengan skim ini.
Seterusnya pencaruman skim ini diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri yang lain bermula 1 Januari 2020. Antara 19 sektor pekerjaan sendiri yang wajib mencarum skim ini adalah:
Bil. | Jenis Pekerjaan Sendiri |
1. | Pengangkutan Barangan dan Makanan |
2. | Pertanian |
3. | Penternakan |
4. | Perhutanan |
5. | Perikanan |
6. | Makanan |
7. | Pembuatan |
8. | Pembinaan |
9. | Penjaja |
10. | Premis Penginapan |
11. | Perniagaan Atas Talian (online) |
12. | Teknologi Maklumat |
13. | Pemprosesan Data |
14. | Ejen |
15. | Perkhidmatan Profesional |
16. | Perkhidmatan Sokongan |
17. | Kesenian |
18. | Perkhidmatan Isi Rumah |
19. | Penjagaan Perawatan dan Pemulihan Kesihatan |
Skim ini semakin diperketatkan semenjak wabak Covid-19 melanda Malaysia berikutan peningkatan jumlah kenaikan yang ketara untuk sektor Pengangkutan Barang dan Makanan. Malangnya, peningkatan yang ketara ini juga telah memberi impak besar kepada kemalangan jalan raya. Namun, masih ramai dalam kalangan penunggang ini tidak berdaftar dan mencarum dengan SKSPS.
Mungkin mereka masih belum didedahkan dengan faedah skim ini, atau kemungkinan besar mereka tidak tahu kewujudan skim perlindungan ini.
Justeru itu, pada 1 Oktober 2021, kerajaan Malaysia telah mewajibkan individu yang bekerja sendiri dalam Sektor Pengangkutan Barang dan Makanan mencarum skim perlindungan ini demi memastikan mereka mendapat perlindungan keselamatan sosial untuk diri mereka dan juga keluarga.
Tujuan Penubuhan Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri
Disebabkan individu yang bekerja sendiri ini juga menyumbang kepada peningkatan ekonomi gig negara, jadi, mereka sewajarnya dilindungi demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup mereka. Sebagai contoh, kisah hidup seorang rider yang mengalami kecederaan dan menyebabkan kecacatan yang mula mencarum dengan skim ini pada tahun 2020 setelah ditimpa kemalangan teruk. Pada mulanya dia tidak pernah tahu tentang kewujudan skim ini kerana mengganggap skim perlindungan PERKESO ini hanya untuk mereka yang bekerja di bawah kelola majikan.
Skim ini bertujuan memberi perlindungan kepada individu yang bekerja sendiri dari bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan pekerjaan tersebut. Penyataan ini bersesuaian dengan kenyataan di dalam Jadual Kelima Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
Faedah-Faedah Diterima Pencarum SKSPS
Selain itu, skim ini juga memberi faedah tunai kepada individu yang bekerja sendiri dan tanggungannya, serta menawarkan perlindungan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.
- Faedah perubatan: orang berinsurans bekerja sendiri (OBS) boleh mendapatkan rawatan secara percuma di klinik panel PERKESO atau klinik/hospital kerajaan mahu pun menuntut bayaran ganti belanja kos rawatan perubatan di klinik bukan panel PERKESO mengikut syarat yang telah ditetapkan dalam Akta Fi 1951.
- Faedah hilang upaya sementara: tempoh cuti sakit yang telah disahkan doktor mestilah sekurang-kurangnya 4 hari termasuk hari kemalangan dan sijil sakit perlu dikemukakan.
- Faedah hilang upaya kekal: tuntutan ini boleh dibuat setelah tamat tempoh cuti sakit.
- Faedah orang tanggungan: dibayar secara bulanan kepada orang tanggungan yang layak sekiranya OBS meninggal dunia akibat bencana pekerjaan sendiri.
- Elaun layanan sentiasa: faedah ini akan diperuntukkan sekiranya OBS menerima faedah hilang upaya kekal sepenuhnya akibat bencana pekerjaan sendiri hingga mengehadkan upayanya untuk melakukan pekerjaan dan memerlukan layanan seseorang setelah disahkan oleh Jemaah Doktor/Doktor Rayuan.
- Faedah pengurusan mayat: faedah sebanyak RM2000 akan diberikan kepada orang tanggungan yang layak sekiranya OBS meninggal dunia akibat benca pekerjaan sendiri atau diterima OBS sendiri yang menerima faedah hilang upaya kekal secara berkala.
- Kemudahan pemulihan jasmani/vokasional: diberikan secara percuma kepada OBS.
- Faedah pendidikan: faedah ini akan diberikan kepada anak OBS dalam bentuk biasiswa atau pinjaman sekiranya OBS meninggal dunia atau menerima faedah bayaran berkala hilang upaya kekal dengan syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan.
Banyak faedah yang pencarum akan perolehi untuk caruman yang dibuat, kan? Bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk tanggungan juga terjamin. Kalau nak tahu lebih lanjut mengenai faedah ini, boleh layari laman web PERKESO kerana mereka telah menyediakan dokumen khas mengenai faedah ini.
Terma dan Syarat Untuk Mencarum
Anda mesti ingat bahawa tidak semua OBS itu boleh mendaftar untuk mencarum. Setiap pencarum mestilah memenuhi kelayakan ini dahulu sebelum dibenarkan untuk mencarum. Antaranya adalah:
- bertaraf warganegara Malaysia atau pemastautin tetap;
- tiada had umur;
- bekerja di Malaysia;
- bekerja sepenuh masa atau separuh masa; dan
- individu yang menjalankan pekerjaan sendiri untuk mencari nafkah.
Syarat kelayakan yang telah ditetapkan PERKESO adalah sangat mudah untuk dipenuhi. Sekiranya anda yakin anda sudah penuhi kelayakan untuk mencarum SKSPS ini, anda sudah boleh membuat pendaftaran. Tetapi, apa pula dokumen yang diperlukan?
- Salinan kad pengenalan pemohon
- Salinan kad PSV / profil e-hailing / permit / lesen / sijil atau surat pengesahan dari persatuan atau agensi yang berkaitan tertakluk kepada jenis sektor yang dipilih.
- Layari Portal Matrix PERKESO untuk pendaftaran selanjutnya.
Pilihan Pakej Caruman SKSPS
Kadar caruman untuk skim perlindungan ini adalah berbeza dengan skim perlindungan PERKESO yang lain kerana kadar caruman untuk skim ini tertakluk kepada jenis pelan bayaran caruman yang telah ditetapkan:
Bil. | Pendapatan Bulanan | Bayaran Caruman Bulanan | Bayaran Caruman Setahun |
1. | RM1,050 | RM13.10 | RM157.20 |
2. | RM1,550 | RM19.40 | RM232.80 |
3. | RM2,950 | RM36.90 | RM442.80 |
4. | RM3,950 | RM49.40 | RM592.80 |
OBS boleh memilih pakej yang telah ditawarkan seperti dalam paparan di atas. Untuk proses pembayaran pula, OBS boleh membayar caruman secara tahunan mahu pun bulanan. Selain dari itu:
- pembayaran secara tunai boleh dilakukan di mana-mana pejabat PERKESO yang terdekat;
- manakala untuk OBS yang mahu membuat pembayaran atas talian melalui perbankan internet, anda boleh melayari Portal Matrix PERKESO;
- dan anda juga boleh membuat pembayaran melalui rakan strategik PERKESO secara atas talian.
MySyarikat Pembantu Sumber Manusia Atas Talian Anda!
Selesai semua pendaftaran, mestilah anda perlu rekod setiap transaksi dan aktiviti yang berlaku untuk syarikat tunggal atau perkongsian anda, bukan? Tak perlu lagi rekod secara manual mahu pun menggunakan sistem lama.
Jom bertukar ke MySyarikat. Anda hanya perlu memasukkan maklumat diri anda dan juga syarikat. Lebih mudah untuk pantau aktiviti syarikat anda.
Apa ditunggu lagi? Jom berdaftar dengan MySyarikat sekarang!
Pekerja asing dalam Sektor Pertanian perlu membuat bayaran untuk socso?
Terima kasih.
Di bawah Skim Bencana Kerja Pekerja Asing PERKESO, majikan ditetapkan untuk membayar caruman pada kadar 1.25% daripada gaji bulanan. Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian iaitu melalui portal ASSIST PERKESO.
Penjawat awam yang sedang berkhidmat boleh mencarum Perkeso?
Setakat harini penjawat awam tidak perlu mencarum kepada PERKESO.
Jika kerja sebagai pemandu lori tetapi tiada majikan, boleh buat caruman sendiri? Apakah dokumen yang diperlukan semasa berdaftar? Bagaimana mendaftar?
Boleh. Untuk mereka yang bekerja sendiri pihak KWSP dan PERKESO ada menawarkan skimnya. Untuk sebarang rujukan lanjut mengenai dokumen dan proses mendaftar adalah dinasihatkan untuk layari laman rasmi KWSP dan PERKESO sendiri.
Jika bekerja sendiri (telah mencarum) dan sekarang ada masalah sakit jantung. Doktor sarankan buat Angiogram. Apa bantuan kewangan yang boleh diperolehi?
Sekiranya kehilangan upaya bekerja sama ada sementara atau kekal, boleh memohon bantuan daripada PERKESO berdasarkan skim-skim yang ditawarkan. Boleh layari laman rasmi PERKESO untuk keterangan lanjut.