Skip to main content

Dah biasa mencarum, kemudian diberhentikan kerja?

Anda perlu tahu hak anda dalam menuntut caruman PERKESO sekiranya anda diberhentikan kerja. Di bawah skim PERKESO, terdapat satu skim insurans yang dikenali sebagai Skim Insurans Pekerjaan (SIP) atau EIS untuk memberi perlindungan Insurans Pekerjaan, Perkhidmataan Pekerjaan, serta Maklumat Pasaran Buruh (LMI).

Apa itu SIP/EIS PERKESO?

Artikel sebelum ini pernah membincangkan secara rawak mengenai sistem insurans ini termasuklah cara pengiraan bagi insurans ini. Tuntutan faedah SIP ini boleh diberikan kepada pekerja yang dicarum dan mencarum dengan PERKESO sekiranya diberhentikan kerja oleh majikan.

Penguatkuasaan sistem insuran ini bermula sejak 1 Januari 2018 bagi membantu pekerja yang hilang pekerjaan. Antara faedah yang pencarum akan nikmati melalui Sistem Insurans Pekerjaan ini adalah seperti berikut:

  • Elaun mencari pekerjaan
  • Elaun pendapatan berkurang
  • Yuran latihan
  • Elaun latihan
  • Elaun bekerja semula awal
  • Program Perkhidmatan Pekerjaan

Jadi, kalau anda mencarum skim PERKESO, anda tidak perlu risau sekiranya anda diberhentikan kerja. Buat sahaja tuntutan insurans ini kerana anda layak untuk mendapatkannya. Tetapi, anda perlu memenuhi syarat kelayakan di bawah sebelum anda membuat tuntutan.

Syarat Kelayakan Tuntutan

Sebagaimana anda perlu memenuhi syarat kelayakan sebelum mencarum, begitu juga jika anda ingin menuntut insurans ini. Mudah sahaja. Sila pastikan anda fahami maksud kehilangan pekerjaan yang telah ditetapkan PERKESO ini:

  • Pembuangan kerja dan pertindihan
  • VSS/MSS (skim pemisahan sukarela dengan persetujuan bersama)
  • Penutupan tempat Orang Berinsuran (OB) bekerja kerana bencana alam
  • Bankrap atau penutupan tempat kerja/perniagaan
  • Pembuangan kerja konstruktif
  • Perletakan jawatan disebabkan OB berhadapan dengan gangguan seksual atau ugutan di tempat kerja
  • Perletakan jawatan berpunca dari arahan untuk melakukan kerja luar bidang yang mampu menggugat keselamatan diri

Kalau OB Yang Berhenti Kerja Atas Kerelaan Sendiri, Layak Ke Membuat Tuntutan?

Dalam isu di atas, Orang Berinsurans tersebut tidak layak membuat tuntutan Sistem Insurans Pekerjaan ini kerana tidak memenuhi syarat kelayakan yang telah ditetapkan PERKESO seperti yang dilampirkan di atas. Jika anda salah seorang yang berhadapan dengan situasi di bawah ini, anda TIDAK layak membuat sebarang tuntutan Insurans Pekerjaan.

  • Pembuangan akibat salah laku kerja
  • Perletakan jawatan secara sukarela oleh pekerja
  • Persaraan
  • Tempoh kontrak perkhidmatan tamat (termasuk penamatan kontrak atas persetujuan bersama atau penyiapan kerja mengikut terma kontrak perkhidmatan)

Jadi, sekiranya Orang Berinsurans tersebut berhenti kerja atas kerelaan sendiri bukannya diberhentikan kerja seperti dinyatakan pada syarat kelayakan di atas, OB tersebut tidak boleh dan tidak layak menuntut EIS atau SIP ini.

Amaun Faedah SIP

Untuk pengetahuan anda, SIP PERKESO menyediakan 3 jenis elaun untuk dipohon sekiranya anda diberhentikan kerja.

Elaun Mencari Pekerjaan (EMP)

  • Elaun ini adalah jenis bentuk gantian pendapatan bagi Orang Berinsurans yang kehilangan pendapatan tunggal
  • Jika OB layak untuk menerima elaun ini, mereka akan menerima elaun untuk tempoh 3-6 bulan mengikut syarat yang telah ditetapkan
  • Tempoh pembayaran faedah ada tertakluk kepada Syarat Kelayakan Caruman

Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB)

  • Elaun jenis ini pula adalah elaun berbentuk gantian pendapatan bagi mereka yang mempunyai lebih daripada satu majikan dan telah kehilangan salah satu atau lebih pekerjaan tetapi tidak kehilangan semuanya sekali
  • Jika OB kehilangan semua pekerjaannya, pemohon layak menerima EMP dan juga EPB
  • Kadar elaun adalah sama seperti EMP
  • Elaun yang diterima akan dibayar secara pukal

Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA)

  • Elaun ini merupakan suatu insentif kewangan bagi pekerja yang kembali bekerja semula dalam tempoh EMP
  • Kadar bayaran yang akan diterima pemohon adalah sebanyak 25% daripada baki EMP yang belum diterima
  • Elaun yang diterima akan dibayar secara pukal, sama seperti EPB

Bagaimana Tuntutan SIP Boleh Dibuat?

Bagi pemohon yang ingin menuntut semua faedah Insurans Bekerja ini, anda perlu memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh PERKESO ini:

  • Membuat permohonan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh kehilangan pekerjaan (LOE).
  • Memenuhi Syarat Kelayakan Caruman (CQC). Ini bermaksud, pemohon perlu membayar caruman kepada SIP dengan bilangan minimum dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Jadual kelayakan tersebut boleh dirujuk di Portal PERKESO.
  • Pemohon mestilah kehilangan pekerjaan di bawah definis hilang pekerjaan seperti yang dinyatakan pada Syarat Kelayakan Tuntutan di atas.

Pemohon juga perlu menyediakan dokumen-dokumen berikut sebelum membuat permohonan tuntutan:

  • Pastikan permohonan anda lengkap untuk mendapatkan pengesahan pegawai bertugas.
  • Salinan kad pengenalan
  • Salinan surat pemberhentian pekerjaan (termasuk VSS, MSS, atau seumpama dengannya)
  • Salinan penyata gaji 6 bulan (bulan-bulan sebelum pemberhentian kerja)
  • Salinan akaun bank
  • Salinan laporan polis (sekiranya pemohon meletakkan jawatan atas gangguan seksual, ugutan dan sebagainya)
  • Salinan bukti arahan yang diberikan bagi kerja-kerja bahaya (sekiranya pemohon menerima kerja luar skop yang membahayakan diri)
  • Dokumen yang berkaitan dengan kes (sekiranya ada)

Tuntutan boleh dibuat di kaunter atau melalui atas talian sahaja?

Bagi pemohon yang ingin membuat tuntutan SIP, anda boleh membuat tuntutan secara atas talian di portal Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO. Pembayaran mestilah dibuat secara pemindahan wang secara eletronik dan ke atas bank yang hanya disenaraikan sahaja:

(1) AFFIN BANK
(2) AGRO BANK
(3) AL RAJHI BANK
(4) ALLIANCE BANK
(5) AM BANK
(6) BANK ISLAM
(7) BANK MUAMALAT
(8) BANK OF AMERICA
(9) BANK OF TOKYO MITSUBISHI (M) BHD
(10) BANK PERTANIAN MALAYSIA
(11) BANK RAKYAT
(12) BANK SIMPANAN NASIONAL
(13) BNP PARIBAS MALAYSIA
(14) CIMB BANK
(15) CITIBANK
(16) DEUTSCHE BANK (M) BHD
(17) HONG LEONG BANK
(18) HSBC BANK
(19) IND & COM BANK OF CHINA
(20) J.P. MORGAN CHASE
(21) KUWAIT FINANCE HOUSE
(22) MAYBANK
(23) MIZUHO CORPORATE BANK (MALAYSIA) BERHAD
(24) OCBC BANK
(25) PUBLIC BANK
(26) RHB BANK
(27) ROYAL BANK OF SCOTLAND
(28) STANDARD CHARTERED BANK
(29) SUMITOMO MITSUI BANK
(30) UNITED OVERSEAS BANK

Jangan Lupa, Ya!

Sekiranya pemohon sudah membuat permohonan tuntutan, jangan lupa untuk menyemak dan menyimpan slip permohonan setelah permohonan berjaya dihantar. Perlu diingatkan juga bahawa pemohon perlu membawa dokumen asal semasa berjumpa dengan pegawai PERKESO.

Sekiranya anda pemilik perusahaan/perniagaan dan memerlukan sistem untuk merekod aktiviti syarikat secara teratur dan tepat, lawati Sistem MySyarikat dan mula langganan sekarang.

Jangan lepaskan peluang keemasan ini!

Leave a Reply