Skip to main content

Isu diskriminasi dan gangguan seksual memang sukar dipisahkan dalam konteks tempat kerja, tetapi ia juga sering diambil ringan oleh pelbagai pihak sehingga Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.

Pengenalan pindaan ‘Larangan Diskriminasi dalam Pekerjaan’ dan ‘Notis Kesedaran Gangguan Seksual’ pada Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 ini sedikit sebanyak menunjukkan isu ini semakin dipandang serius dan langkah pencegahan mula diambil.

Tapi persoalannya apakah kepentingan 2 pindaan ini dimasukkan ke dalam Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022?

Artikel ini akan bincangkan tentang 2 pindaan tersebut agar hak anda sebagai pekerja untuk berasa selamat dan selesa di tempat kerja terjamin.

Larangan Diskriminasi dalam Pekerjaan

Bagi membincangkan pindaan Larangan Diskriminasi dalam Perkejaan, penting untuk anda faham terlebih dahulu tentang Hak Kesamarataan sebagai rakyat Malaysia di bawah Perlembangaan Persekutuan 1957.

Perkara 8 (1), Perlembangaan Persekutuan 1957 ada mengatakan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang. Rujukan lanjut boleh dibuat pada Perlembangaan Persekutuan 1957.

Kemudian, pada Perkara 8 (2) juga ada menyatakan perlindungan diskriminasi dalam pelantikan sebarang jawatan atau pekerjaan di bawah satu pihak berkuasa awam atau pentadbiran mana-mana undang-undang.

Dalam konteks kerja, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 menggariskan larangan terhadap majikan dari melakukan segala bentuk diskriminasi kepada pekerja dalam pekerjaan, kenaikan pangkat atau apa-apa syarat pekerjaan lain.

Bagi yang tidak tahu, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 ini digunakan sebagai satu mekanisme untuk menyelesaikan sebarang pertikaian perusahaan diantara pekerja dengan majikan dan kesatuan sekerja.

Selain itu, Seksyen 60 (L) Akta Kerja 1955 turut menyokong hak pekerja warganegara untuk membuat aduan jika rasa berlaku diskriminasi terhadap dirinya dengan pekerja bukan warganegara dan begitu juga sebaliknya.

Antara bentuk diskriminasi di tempat kerja yang sering berlaku adalah:

  • Diskriminasi jantina
  • Diskriminasi agama
  • Diskriminasi kaum, bangsa dan keturunan 
  • Diskriminasi  umur
  • Diskriminasi terhadap Orang Kelainan Upaya (OKU)

Walaupun tiada akta perundangan khusus berkenaan diskriminasi di Malaysia, berbanding kebanyakan negara lain yang memiliki perundangan anti diskriminasi mereka sendiri, pindaan Larangan Diskriminasi dalam Pekerjaan ini adalah permulaan yang baik.

Ia sekurang-kurangnya dapat membela keadilan di tempat kerja dan memberi isyarat jelas kepada semua pihak berkenaan isu diskriminasi yang tidak boleh dipandang ringan.

Notis Kesedaran Gangguan Seksual

Memang tidak dinafikan masalah gangguan seksual di tempat kerja sudah lama wujud, lebih-lebih lagi dengan penyertaan kaum wanita dalam dunia pekerjaan sejak 1970-an.

Malah, tinjauan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022 mendapati lebih satu daripada lima orang yang bekerja di seluruh dunia alami beberapa bentuk gangguan atau keganasan di tempat kerja.

Secara definisi gangguan seksual termasuk semua perbuatan lisan atau bertulis yang mengandungi elemen seksual sehingga mencetus rasa tidak selesa terhadap jantina berbeza. Dalam kes zaman moden ia juga termasuk gangguan terhadap jantina yang sama.

Lantaran itu, Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 memasukkan keperluan Notis Kesedaran Gangguan Seksual di tempat kerja. Ia merupakan salah satu usaha untuk memupuk kesedaran kepada para pekerja berkenaan gangguan seksual di tempat kerja.

Asalnya, pengenalan gangguan seksual telah diperkenalkan pada pindaan 2012 Akta Kerja 1955 di bawah Bahagian XVA. Seksyen 81A hingga 81G pada bahagian sama turut menggariskan cara pekerja boleh membuat aduan dan kewajipan majikan tangani gangguan seksual. 

Ia kemudiannya ditambah baik pada pindaan 2022 dengan memperkenalkan keperluan meletakkan notis kesedaran gangguan seksual di tempat kerja kerana pindaan sebelum ini dilihat mempunyai beberapa batasan.

Selaras dengan Seksyen 80H, Akta Kerja 1955 majikan kini perlu meletakkan poster kesedaran gangguan seksual di ruangan terbuka seperti di papan notis pekerja, laluan masuk pejabat atau tempat yang mudah dilihat oleh pekerja.

Malah, pada bulan Mei 2023 Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengeluarkan notis yang melarang panggilan gelaran ‘sayang’ atau ‘dear’ kepada rakan sekerja oleh penjawat awam.

Ternyata isu gangguan seksual di tempat kerja tidak lagi dipandang ringan oleh kebanyakan pihak, dan perundangan yang telus perlu dikeluarkan dengan lebih jelas supaya tempat kerja boleh jadi satu kawasan selamat dan selesa.

Jadinya, pengenalan kedua-dua pindaan ini adalah amat penting dan sangat diperlukan memandangkan sesetengah orang menganggap tempat kerja sebagai rumah kedua mereka.

Dengan pengenalan dua pindaan harapnya anda berasa selamat dan selesa di tempat kerja. Laporkan dan failkan aduan jika anda rasa diri di diskriminasi atau diganggu di tempat kerja kerana anda berhak berasa selesa di tempat kerja.

Leave a Reply