Skip to main content

Semua orang suka cuti tidak kira cuti pada hujung minggu atau ketika cuti umum. Sebelum masuk tahun kalendar baru setiap tahun, kerajaan Malaysia akan mengumumkan takwim senarai hari-hari cuti umum untuk kemudahan semua orang bagi merancang perjalanan pulang ke kampung dan sebagainya.

Senarai hari-hari cuti umum itu termasuk cuti perayaan antaranya Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali atau cuti Hari Keputeraan di setiap negeri-negeri dalam Malaysia, dan cuti bersempena khas seperti Hari Kemerdekaan. Tetapi ini tidak bermaksud semua syarikat di Malaysia perlu bercuti pada hari-hari tersebut.

Akta Kerja 1955 ada menerangkan setiap syarikat yang berdaftar di Malaysia perlu mengambil minimum 11 hari sahaja untuk bercuti. Dikenali juga sebagai Hari Kelepasan Am, ia merangkumi 5 hari cuti yang wajib diambil dan 6 hari cuti yang pihak majikan boleh pilih. 

Jadi mari kenali senarai hari-hari cuti wajib di bawah Hari Kelepasan Am Bergaji yang majikan perlu ambil dan hak-hak pekerja andai diminta untuk bekerja pada hari cuti tersebut.

Senarai Cuti Wajib Di Bawah Hari Kelepasan Am Bergaji

Dalam Akta Kerja 1955 ada mengatakan bahawa setiap majikan TIDAK WAJIB ambil semua hari cuti umum yang diumumkan oleh kerajaan. Sebaliknya, pihak majikan perlu memperuntukkan minimum 11 hari cuti yang terdiri daripada 5 hari cuti WAJIB dan 6 hari cuti PILIHAN.

5 hari cuti yang WAJIB maijkan diambil seperti yang dinyatakan dalam Akta Kerja 1955 adalah:

  1. Hari Pekerja (1 Mei)
  2. Hari Kebangsaan (31 Ogos)
  3. Hari Malaysia (16 September)
  4. Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong
  5. Hari Keputeraan Yang Dipertuan Negeri atau Hari Wilayah di Wilayah Persekutuan

Baki lagi 6 hari cuti biasanya pihak majikan boleh pilih daripada senarai hari-hari cuti umum yang diwartakan kerajaan. Dalam konteks di Malaysia, kebiasaannya hari-hari yang terpilih adalah Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Tahun Baru Cina, Deepavali, Perayaan Krismas, Maulidur Rasul, atau Hari Wesak. 

Di sini penting untuk setiap majikan memaklumkan senarai hari-hari cuti yang diambil kepada semua pekerja sama ada dengan mengeluarkan notis sebelum bermulanya tahun kalender baru setiap tahun.

Selain daripada Hari Kelepasan Am, terdapat juga hari Cuti Tambahan yang diberikan khas oleh kerajaan antaranya hari cuti sempena pembentukan kerajaan selepas Pilihanraya Umum atau satu hari cuti khas bersemperna meraikan kejayaan dalam bidang sukan. 

Dalam kes ini pihak majikan perlu memberi cuti kepada pekerja seperti yang tertulis dalam Seksyen 8 Akta Kelepasan Am 1951 yang menerangkan Menteri boleh mengumumkan satu hari cuti tambahan khas yang tiada dalam takwim kalender asal. 

Walaupun begitu, majikan boleh meminta para pekerjanya untuk bekerja pada Hari Kelepasan Am yang dinyatakan di atas, namun, dalam situasi ini pekerja layak untuk menerima pembayaran yang lebih tinggi. Perkara ini boleh dirujuk dalam Seksyen 60 D (3) (a) Akta Kerja 1955.

Pengiraan Kadar Kerja Lebih Masa (OT) Pada Hari Kelepasan Am

Setiap pekerja di Malaysia dilindungi dengan Seksyen 60A (1) yang menerangkan bahawa tempoh masa bekerja seseorang itu:

  1. Perlu dapat rehat sekurang-kurangnya 30 minit selepas bekerja selama 5 jam
  2. Tempoh waktu bekerja minimum adalah 8 jam sehari
  3. Tidak boleh bekerja melebihi 10 jam sehari termasuk rehat
  4. Tidak boleh bekerja melebihi 45 jam seminggu

Andai seorang pekerja itu bekerja melebihi syarat-syarat tersebut, maka pekerja itu layak untuk menuntut bayaran tambahan OT untuk hari bekerja biasa sebanyak 1.5 kali ganda sejam dan 2 kali ganda sejam untuk OT ketika hari cuti rehat. Pengiraan untuk OT ketika bekerja semasa Hari Kelepasan Am pula adalah sebanyak 3 kali ganda sejam.

Tapi perlu diingatkan pelaksanaan OT mestilah mendapat persetujuan di antara kedua-dua belah pihak pekerja dan majikan. Pekerja perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada majikan atau pegawai sumber manusia, dan memiliki sebab yang kukuh seperti untuk menyiapkan tugasan untuk menuntut OT tidak kira sama ada pada hari bekerja biasa atau ketika hari cuti.