Skip to main content

Apabila bercakap tentang hak-hak pekerja rujukan utama tentunya pada Akta Kerja 1955, yang menerangkan tentang segala keperluan, peraturan dan pertikaian melibatkan hubungan kerja antara pekerja dan majikan di Malaysia.

Bagi memastikan perundangan kerja di Malaysia terus kekal relevan dan dikemas kini, Akta Kerja 1955 dipinda pada 2022 dengan memperkenalkan beberapa peraturan baru. Antara yang dipinda adalah waktu bekerja, pembayaran gaji, cuti, notis berhenti kerja dan aturan kerja.

Tetapi tahukah anda bahawa pada tahun sama terdapat sebuah lagi akta yang dipinda bagi mengemas kini perundangan sedia ada mengenai keselamatan dan kesihatan pekerja di Malaysia?

Akta tersebut adalah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan) 2022 atau Occupational Safety and Health Act 1994 (Amendment) 2022, yang dibuat bagi meningkatkan keselamatan pekerja di tempat kerja.

Oleh itu, artikel kali ini akan menerangkan secara ringkas tentang perkara yang dipinda pada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan kepentingan perundangan ini kepada pekerja.

Apa Itu Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994?

Sebagai pengetahuan akta ini diperkenalkan bagi tujuan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja, selain turut berfungsi untuk melindungi individu lain daripada risiko yang boleh tercetus di tempat kerja.

Ketika diperkenalkan pada 25 Februari 1994 ia memfokuskan undang-undang yang mewajibkan majikan untuk menjaga keselamatan pekerja dari kemalangan yang berpunca daripada pengurusan keselamatan dan kesihatan yang lemah di tempat kerja.

Ia juga diperkenalkan bagi memberi perlindungan kepada pekerja dari sebarang kemalangan, selain turut memperhalusi dan memperkemaskan perundangan sedia ada pada Akta Kilang dan Jentera 1967 atau Factories and Machinery Act 1967.

Pada peringkat awalnya Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan hanya berfokuskan kepada tanggungjawab majikan, pihak pengilang dan pembekal peralatan untuk menggunakan bahan-bahan yang selamat kepada pekerja.

Tetapi dengan peredaran zaman yang semakin mencabar dan keperluan serta kepelbagaian peralatan yang digunakan, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan terus dikemas kini beberapa kali dan yang terbaru adalah pada tahun 2022.

Kenapa Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dipinda?

Seperti yang dijelaskan awal tadi pindaan pada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dibuat bagi mengemas kini perundangannya supaya selari dengan cabaran dan masalah baru yang timbul dalam industri kerja di Malaysia.

Terdapat bahagian yang baru yang diperkenalkan, dan terdapat bahagian lain yang dipadam, serta terdapat juga bahagian yang dikemas kini pada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi memastikan ia memberi perlindungan yang lebih baik kepada pekerja.

Pindaan ini juga membawa maksud penyatuan bagi peruntukan keselamatan dan kesihatan yang komprehensif antara Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Akta Kilang dan Mesin kepada semua industri kerja di Malaysia.

Apa Yang Dipinda Pada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan?

Antara pindaan utama yang dibuat pada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan adalah,

  • Meningkatkan perlindungan kepada pekerja

Penerapan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kini diperluaskan kepada semua tempat kerja di seluruh Malaysia seperti pada perkhidmatan awam dan pihak berkuasa berkanun berbanding hanya pada industri pembuatan, pembinaaan dan perhotelan sahaja.

Selain itu, pindaan baru juga memperkenalkan hak pekerja untuk menyelamatkan diri daripada risiko bahaya andai majikan gagal mengambil tindakan. Ini bermakna pekerja berhak untuk tinggalkan tugas jika terdapat risiko kecederaan kepada diri sendiri.

  • Menambah peraturan kepada majikan

Pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan juga memperhalusi definisi prinsipal yang merujuk kepada mana-mana orang yang melakukan kontrak dengan kontraktor untuk memastikan keselamatan dan kesihatan mereka.

Majikan juga bertanggungjawab untuk membuat penilaian risiko keselamatan dan kesihatan yang boleh terjadi di tempat kerja dan melaksanakan kawalan risiko untuk menggurangkannya.

  • Meningkatkan jumlah penalti

Kadar penalti bagi majikan yang gagal mematuhi atau melanggar mana-mana penetapan pada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dinaikkan kepada RM500,000 berbanding RM50,000 sebelum ini.

  • Mewajibkan perlantikan pegawai keselamatan dan kesihatan

Satu bahagian pada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan menyatakan keperluan majikan untuk melantik seorang pekerja sebagai pegawai keselamatan dan kesihatan untuk menyelaraskan tugasan melibatkan kawalan risiko di tempat kerja.

Kegagalan majikan untuk melantik pegawai keselamatan dan kesihatan untuk menyelaraskan tugasan melibatkan risiko di tempat kerja boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebig 6 bulan, atau kedua-duanya.

Kepentingan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994

Sama seperti Akta Kerja, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan juga berperanan untuk melindungi hak-hak kebajikan pekerja. Perlu diingatkan skop Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kini merangkumi semua pekerja dalam semua aktiviti ekonomi.

Jadi sebagai pekerja, majikan dan pegawai sumber manusia (HR) penting untuk anda faham kepentingan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ini diperkenalkan. Antara kepentingannya adalah,

  1. Memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja daripada sebarang risiko yang timbul di tempat kerja
  2. Melindungi pekerja dan invdividu lain di tempat kerja daripada sebarang risiko yang timbul di tempat kerja
  3. Menggalakkan persekitaran kerja yang kondusif, selamat dan selesa daripada sebarang risiko yang timbul

Kesimpulannya, semua pihak perlu mencerna tentang Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam memastikan tempat kerja menjadi kawasan yang selamat untuk pekerja dan melindungi hak pekerja untuk dapatkan keselamatan.

Leave a Reply