Skip to main content

Pembayaran zakat adalah benda wajib bagi setiap Muslim dan merupakan salah satu dari 5 rukan Islam. Setiap tahun seorang Muslim perlu membayar zakat pendapatan dan zakat fitrah ketika bulan Ramadhan.

Agihan dan pungutan zakat pula akan diselia oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) masing-masing berdasarkan negeri kediaman pembayar zakat.

Jika sebelum ini MySyarikat pernah kongsikan tentang Zakat Pendapatan dan rebat cukai atas pembayaran zakat. Kali ini kita akan menyentuh lebih mendalam tentang proses pembayaran zakat melalui potongan gaji bulanan pekerja.

Jenis-Jenis Zakat

Sebelum pergi lebih lanjut tentang cara bayar zakat melalui potongan gaji, penting untuk anda tahu berkenaan jenis pembayaran zakat yang ada disediakan oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

Secara asasnya terdapat 9 jenis pembayaran zakat yang boleh dibuat melalui PPZ iaitu,

  • Zakat Pendapatan – pembayaran wajib atas upah kerja (gaji) yang diperolehi 
  • Zakat Perniagaan – pembayaran wajib atas keuntungan perniagaan yang diperolehi
  • Zakat Saham – pembayaran atas nilai ekuiti daripada aktiviti jual-beli dan pemilikan saham
  • Zakat Emas – pembayaran atas nilai emas sama ada yang dipakai atau disimpan mengikut nisab
  • Zakat Perak – pembayaran atas nilai perak (logam) yang digunakan sebagai alat tukaran wang dalam urusan jual beli
  • Zakat KWSP – pembayaran atas pengeluaran duit simpanan persaraan sebanyak 2.5%
  • Zakat Wang Simpanan – pembayaran atas sebarang akaun simpanan pada mana-mana institusi yang sudah cukup nisab
  • Zakat Fitrah – pembayaran wajib ke atas Muslim yang memenuhi syarat, dan wajib dibayar semasa Ramadhan
  • Zakat Pertanian – pembayaran atas hasil tanaman dan buah-buahan mengikut nisab

Bayar Zakat Dengan Potongan Gaji

Di bawah PPZ Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), terdapat satu program yang dilancarkan untuk membantu pekerja Muslim membayar zakat pendapatan secara ansuran bulanan.

Skim Potongan Zakat Bulanan (PZB) diperkenalkan bagi membantu pembayar zakat membuat potongan gaji secara bulanan atau berjadual untuk melunaskan pembayaran zakat pendapatan. 

Ia biasanya dilakukan atas persetujuan pekerja dan majikan untuk membuat potongan, sama seperti prosedur pembayaran potongan cukai bulanan (PCB).

Terdapat 2 jenis pembayaran yang ditawarkan program ini iaitu,

1. Potongan Melalui Majikan (Potongan Gaji)

Cara potongan ini berfungi sama seperti PCB di mana ia akan tertera pada slip gaji pekerja apabila pembayaran telah dibuat, dan akan diselaraskan dengan potongan cukai bulanan.

Contohnya mudahnya adalah apabila pekerja perlu membayar PCB sebanyak RM350, tetapi telah membuat pembayaran zakat sebanyak RM200. Maka, PCB yang perlu dibuat pada bulan tersebut hanya sebanyak RM150 sahaja.

RM350 (PCB yang perlu dibayar) - RM200 (Zakat yang wajib dibayar) = RM150 (Baki PCB perlu dijelaskan)

Atau sekiranya nilai zakat yang perlu dibayar sama dengan nilai PCB, maka ini bermakna bulan tersebut pekerja tidak perlu membuat pembayaran.

RM200 (PCB yang perlu dibayar) - RM200 (Zakat yang wajib dibayar) = Tiada Bayaran (Baki PCB)

2. Potongan Tanpa Majikan (E-Mandate)

Melalui fungsi ini potongan zakat boleh dibuat dengan cara menolak terus daripada mana-mana akaun bank pilihan pembayar zakat setiap bulan. Selepas selesai membuat pembayaran pihak PPZ akan menghantar emel pemberitahuan serta resit rasmi.

Konsepnya sama seperti pembayaran atas talian yang dibuat untuk perkhidmatan lain, cuma yang membezakannya adalah potongan akan dibuat antara tarikh 2 haribulan ke 5 haribulan setiap bulan atau 22 ke 25 haribulan jika tarikh sebelumnya gagal.

Kelebihan utama skim PZB ini adalah untuk memudahkan, melancarkan dan menjimatkan tenaga pembayar zakat untuk membuat pembayaran. Seperti kata Islam itu mudah, kini pembayaran zakat juga lebih mudah dengan PZB.

Untuk membuat sebarang permohonan atau pertanyaan berkenaan PZB boleh dirujuk terus pada laman web PPZ.

Jadinya sebagai seorang Muslim mari bersama-sama membayar zakat untuk membantu orang lain yang lebih memerlukan. Tidak lupakan juga pembayaran zakat ini boleh mengurangkan pembayaran cukai pendapatan pekerja.

Tips HR

Tips Urus Pekerja Introvert

Zahin ByondZahin ByondMarch 25, 2024

Leave a Reply