Selain KWSP dan PERKESO, Sistem Insurans Pekerja (SIP) juga adalah caruman yang wajib dibuat daripada gaji pekerja. Berkuat kuasa 1 Januari 2018, SIP diwajibkan untuk bantu pekerja yang kehilangan pendapatan untuk cari kerja baru.
Pada awalnya SIP dapat bantahan orang ramai yang rasa tidak puas hati kerana potongan ini boleh beri kesan kepada gaji pekerja. Tetapi manfaat SIP mula dirasai terutamanya selepas pandemik Covid-19 melanda.
Apa Itu SIP?
SIP adalah skim di bawah PERKESO bertujuan menyediakan bantuan kewangan kepada pekerja yang hilang pekerjaan sehingga mereka dapat kerja baru. SIP juga memberikan perlindungan Insurans Pekerjaan, Perkhidmatan Pekerjaan dan Maklumat Pasaran Buruh (LMI).
Tujuan utama pengenalan SIP adalah sebagai jaringan keselamatan sosial yang,
- Sediakan bantuan kewangan segera iaitu 7 hari selepas pengesahan hilang kerja kepada ahlinya
- Bantu ahlinya yang hilang pekerjaan dapat kerja baru melalui program penempatan semula pekerjaan termasuk bantuan mobiliti
- Tingkatkan kebolehpekerjaan ahlinya yang hilang kerja melalui program latihan dan latihan vokasional
Antara syarat asas yang ditetapkan PERKESO untuk pencarum SIP pula adalah
- Pekerja berusia 18-60 tahun wajib mencarum, kecuali pekerja berusia 57 tahun ke atas dan tiada caruman perlu dibayar sebelum usia 57 tahun
- Semua pekerja sektor swasta perlu bayar caruman bulanan kecuali penjawat awam, perkhidmatan domestik dan bekerja sendiri
- Takrif liputan caruman tertakluk kepada had siling gaji yang diinsurankan
- Kadar caruman adalah 0.2% syer majikan dan 0.2% syer pekerja
Faedah SIP
Menurut syarat ditetapkan untuk SIP, setiap ahli PERKESO yang hilang kerja layak mohon faedah SIP kecuali yang kehilangan pekerjaan disebabkan salah laku (misconduct), tamat kontrak, bersara atau letak jawatan sukarela.
Ini bermakna SIP akan beri bantuan segera kepada ahlinya yang kehilangan pekerjaan dengan salurkan bantuan kewangan sehingga RM600 selama 3 bulan sebaik pekerja disahkan hilang kerja.
Faedah-faedah lain yang turut disediakan dalam skim SIP merangkumi,
- Perkhidmatan dan sokongan pekerjaan kepada ahli untuk dapat pekerjaan yang sesuai
- Elaun cari kerja selama 1 ke 6 bulan tertakluk kepada kelayakan caruman dan kesediaan bekerja semula
- Elaun bekerja semula awal untuk menggalakkan pekerja bekerja semula
- Elaun pendapatan berkurangan untuk ahli yang bekerja dengan majikan dan kehilangan pekerjaan
- Elaun latihan harian dan pembayaran yuran latihan kepada penyedia latihan berdaftar
Cara Tuntut Faedah SIP
Sebarang permohonan untuk tuntutan faedah SIP boleh dibuat pada laman PERKESO. Rujukan lanjut boleh dibuat pada portal SIP PERKESO jika ada sebarang persoalan.
Pekerja yang kehilangan pekerjaan boleh buat permohonan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh kehilangan kerja berdasarkan syarat yang dinyatakan di atas. Jika berlaku kelewatan dalam penghantaran permohonan ia akan menyukarkan proses tuntutan.
Di sini, permohon perlu kemukakan sekali dokumen sokongan seperti di bawah untuk memudahkan proses tuntutan faedah SIP pekerja.
- Borang permohonan lengkap dengan pengesahan pegawai PERKESO
- Salinan kad pengenalan, surat pemberhentian kerja (VSS, MSS), salinan slip gaji 6 bulan kebelakang dan salinan akaun bank
Selepas permohonan diluluskan, pembayaran akan dibuat oleh pihak PERKESO melalui pemindahan wang secara elektronik ke akaun permohon berdasarkan senarai bank-bank pilihan PERKESO.
Suka diingatkan bahawa pembayaran bagi SIP adalah wajib dan kegagalan membuat caruman boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjaran 2 tahun jika didapati bersalah.
Maka, ketahuilah bahawa pembayaran caruman SIP yang dibuat setiap bulan bukan perkara sia-sia tetapi manfaatnya amat besar dalam membantu pekerja meneruskan kelangsungan hidup apabila ditimpa musibah.