Secara purata seorang pekerja bekerja di satu syarikat yang sama selama tiga ke lima tahun sebelum buat keputusan untuk tukar tempat kerja lain.
Namun, trend kerja dalam kalangan generasi muda kini dilihat berubah dengan kebanyakannya memilih untuk tukar tempat kerja selepas setahun atau kurang dari dua tahun bekerja.
Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada keputusan pekerja untuk cari kerja di tempat lain. Malah, ada sesetengah yang sanggup berhenti kerja yang disukai kerana faktor-faktor ini.
Faktor Utama Pekerja Berhenti
Boleh dikatakan kerja yang sempurna, memenuhi citarasa dan menawarkan keseimbangan hidup-kerja (work life-balance) hampir tidak wujud. Tetapi demi kelangsungan hidup, pekerja terpaksa telan yang pahit dan terus bekerja.
Atas faktor kelangsungan hidup juga buatkan sesetengah pekerja pilih untuk cari tempat kerja lain. Jadi mari lihat faktor-faktor yang mempengaruhi keputusan pekerja untuk tukar tempat kerja baru di bawah.
1. Tawaran Gaji yang Lebih Baik
Faktor utama yang mendorong pekerja tukar tempat kerja adalah berkaitan gaji. Sudah jadi kebiasaan untuk pekerja pilih syarikat yang boleh tawarkan gaji yang lebih banyak daripada tempat kerja lama.
2. Kehilangan Motivasi Kerja
Masalah seperti burnout akibat bebanan kerja boleh buatkan pekerja berasa takut dan tidak bermotivasi pergi kerja. Perkara ini akhirnya membuatkan pekerja hilang semangat kerja dan pilih untuk cari jalan keluar dengan berhenti kerja.
3. Tempat Kerja yang Lebih Dekat
Faktor jarak tempat kerja dan rumah menjadi antara punca pekerja berhenti. Walaupun sesetengah rasa gagah untuk ulang-alik, namun dalam jangka masa lama akan ada yang rasa tidak berbaloi apabila work life-balance terganggu.
4. Perubahan Skop Kerja
Kebanyakan syarikat mahukan pekerja yang serba boleh (multi-tasking) tanpa sedar membebankan pekerja. Pada sesetengah kes pekerja berhenti kerana tugasan yang diberikan tidak sama dengan apa yang dijanjikan.
5. Tiada Prospek Kenaikan
Tentunya, apabila sudah lama bekerja pekerja mahu kenaikan pangkat atau kenaikan gaji. Ketiadaan elemen prospek jangka panjang menjadi antara faktor utama pekerja berhenti.
6. Masalah Di Tempat Kerja
Konflik di tempat kerja, gangguan seksual dan amalan pilih kasih menjadi antara faktor yang buatkan pekerja berhenti kerja walaupun baru sahaja masuk bekerja. Tentunya pekerja mahu kerja di tempat yang mereka berasa selamat dan selesa.
Cara Tangani Masalah Pekerja Berhenti Kerja
Dalam konteks pekerja berhenti kerja, adalah tidak adil untuk salahkan pihak majikan seratus peratus dan juga tidak boleh disalahkan pekerja seratus peratus.
Seperti yang dinyatakan awal tadi keputusan pekerja untuk berhenti adalah demi kelangsungan hidup. Jika pekerja merasakan tempat kerja sekarang tidak sesuai dengan diri, maka pekerja berhak untuk cari syarikat lain yang dirasakan sesuai.
Majikan juga perlu mainkan peranan dalam memastikan tempat kerja dan tugasan kerja yang diberikan setimpal dengan penawaran gaji pekerja. Jika berlaku pekerja berhenti, maka majikan perlu ambil langkah yang betul untuk tanganinya.
Pastinya, pekerja tidak mahu berhenti dari kerja yang disukai dan majikan juga tidak mahu kehilangan pekerja yang disukai. Jadi setiap pihak perlu tertolak ansur dan bekerjasama dengan baik dalam menjadikan tempat kerja yang harmoni.