Tiada manusia yang sempurna di muka bumi ini, setiap daripada kita memiliki kelemahan masing-masing. Tetapi kelemahan ini tidak menjadi penghalang untuk menikmati kehidupan sama seperti orang lain.
Atas faktor itu juga Akta Kerja 1955 menekankan tentang larangan diskriminasi dalam pekerjaan pada pindaan yang dibuat semasa tahun 2022. Bentuk larangan diskriminasi dinyatakan jelas daripada jantina sehingga ke mereka yang Orang Kurang Upaya (OKU).
Jadi kali ini MySyarikat akan kongsikan hak-hak pekerja OKU untuk bekerja dan menyumbang kepada pembangunan sosial masyarat Malaysia.
Larangan Diskriminasi Dunia Pekerjaan
Orang Kurang Upaya (OKU) adalah mereka yang mempunyai kekurangan fizikal, mental, intelektual atau deria untuk jangka masa panjang yang mungkin menyukarkan aktiviti interaksi dan penyertaan dalam kalangan masyarakat.
Sungguhpun OKU memiliki ketidakupayaan dalam menjalankan tugasan harian, mereka masih manusia yang mempunyai hak dan merupakan sebahagian daripada unit kemasyarakatan yang berpeluang menjalani kehidupan sama seperti orang lain.
Lantaran daripada itu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarat memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu mereka yang OKU.
Antara usaha kerajaan dalam membantu OKU adalah dengan mewujudkan Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) yang bertujuan untuk menggalakan penyertaan dan pembangunan kualiti hidup serta kesejahteraan mereka yang OKU.
Pada Seksyen 29, Akta Kurang Upaya 2008 telah dinyatakan berkenaan akses pekerjaan untuk mereka yang OKU. Digariskan bahawa mereka yang OKU hendaklah diberi hak untuk memasuki dunia pekerjaan atas asas kesetaraan sama seperti orang lain.
Selain itu, Seksyen 29(2) turut menggariskan bahawa majikan perlu melindungi hak OKU untuk dapat suasana kerja yang adil dan baik termasuk peluang sama rata dan saraan sama rata bagi kerja yang sama nilai seperti pekerja biasa.
Berdasarkan penetapan ini boleh dirumuskan yang OKU diberi ruang dan peluang sama rata dalam dunia pekerja, bagi menyumbang kepada kualiti hidupan yang baik serta penglibatan mereka dalam sosial masyarakat.
Hak-Hak Pekerja OKU
Sebenarnya terdapat banyak bantuan yang diberikan kerajaan dalam menggalakan penyertaan mereka yang OKU dalam dunia pekerjaan. Antara yang terbaharu adalah Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU).
Inisiatif ini diumumkan kerajaan untuk memberi bantuan elaun bulanan sebanyak RM200 kepada OKU yang tidak bekerja sementara RM450 diberikan kepada OKU yang bekerja. Pemberian ini diharap dapat membantu OKU terus bekerja dan menjadi sebahagian unit masyarat yang produktif.
Kelayakan yang ditetapkan untuk inisiatif EPOKU ini adalah,
- Warganegara, pemastautin dan beekrja di Malaysia
- Berusia 16 tahun ke atas
- Pemegang kad OKU yang dikeluarkan KJM
- Berpendapatan bulanan RM1,500 dan ke bawah
Proses permohonan EPOKU ini boleh dibuat terus pada laman rasmi JKM atau melawat ke Pejabat Kebajikan Masyarat Daedah di seluruh negara. Permohon perlu memuat turun Borang Permohonan Bantuan (JKM 18) serta Borang Semakan Bantuan (JKM 20).
Bagi mereka yang masih belum berdaftar, boleh muat turun Borang Permohonan Pendaftaran OKU JKM. sebarang rujukan lanjut boleh dibuat pada laman rasmi JKM sendiri.
Selepas menlengkapkan borang, permohonan diminta hadiri Pejabat Kebajikan untuk proses siasatan penilaian bagi mengesahkan kelayakan bantuan. Penting untuk dibawa sekali salinan kad pengenalan permohon, salinan kad pengenalan pengaja, salinan alamat surat menyurat dan salinan penyata gaji pekerja.
Ternyata kekurangan bukan menjadi penghalang kepada mereka yang OKU untuk memasuki dunia pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan sosial masyarakat. Terdapat banyak usaha yang diperkenalkan untuk bantu OKU meningkatkan kualiti hidup mereka.
Majikan dan pekerja perlu berikan ruang dan peluang kepada mereka yang OKU menjalani kehidupan senormal mungkin agar mereka rasa tidak diabaikan atau didiskriminasi oleh mana-mana pihak.