Skip to main content

Pada 1 Januari 2023, tempoh waktu bekerja telah dikurangkan kepada 45 jam seminggu berbanding 48 jam seminggu seperti sebelum ini.

Perubahan tempoh waktu kerja ini telah dipinda dalam Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 dan diguna pakai terhadap pekerja sektor swasta di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Mungkin bagi sesetengah orang pengurangan yang berlaku ini terlalu kecil untuk dirasai, tetapi dari sudut majikan ia boleh membawa satu impak yang besar kepada operasi mereka.

Antara persoalan utama sejak pindaan tempoh waktu bekerja 45 jam seminggu ini berkuatkuasa adalah apakah pengurangan waktu bekerja bermaksud pengurangan gaji pekerja?

Jangan risau, artikel ini ada jawapan kepada persoalan tersebut!

Jumlah Waktu Bekerja Bermula 2023

Pengenalan pengurangan tempoh waktu bekerja 45 jam seminggu ini bukan perkara baru. Ia diumumkan secara rasmi oleh Menteri Sumber Manusia V Sivakumar melalui kenyataan media pada pertengahan 2022 lagi. 

Tujuan pengurangan tempoh waktu bekerja ini dibuat adalah untuk menyelaraskannya dengan cadangan Reduction of Work Recommendation, 1962 (No.116) yang mengesyorkan setiap negara mengurangkan tempoh bekerja seminggu kepada 45 jam.

Ia disyorkan bagi memberi keseimbangan hidup dan kerja (work-life balance) para pekerja, selain diharapkan dapat meningkatkan prodiktiviti pekerja apabila mendapat rehat yang cukup.

Terdapat beberapa cadangan pengurangan tempoh waktu bekerja 45 jam ini boleh dibuat antaranya:

  • Waktu balik kerja diawalkan – waktu kerja asal dari 8 pagi ke 5 petang ditukar menjadi dari 8 pagi ke 4.30 petang
  • Waktu masuk kerja dilewatkan – waktu kerja asal dari 8 pagi ke 5 petang ditukar menjadi dari 8.30 pagi ke 5 petang
  • Kurangan waktu kerja dalam mana-mana hari dalam seminggu – waktu kerja pada hari Sabtu dikurangkan dari pukul 8 pagi ke 1 petang sahaja

Suka untuk diingatkan bahawa pengurangan waktu kerja 45 jam seminggu ini tidak bermakna waktu rehat pekerja juga perlu dikurangkan.

Hal ini kerana di bawah Seksyen 60A (1) Akta Kerja 1955 ada menetapkan tempoh waktu bekerja adalah seperti berikut:

  • Pekerja tidak boleh bekerja lebih 5 jam tanpa rehat sekurang-kurangnya 30 minit
  • Pekerja tidak boleh bekerja lebih 8 jam sehari
  • Pekerja tidak boleh bekerja lebih 10 jam sehari berturut-turut
  • Pekerja tidak boleh bekerja lebih 45 jam seminggu 

Andai anda dapati kerja melebihi syarat-syarat yang ditetapkan di atas, maka anda kayak untuk menuntut bayaran tambahan kerja lebih masa atau overtime (OT) daripada majikan.

Pengiraan kadar OT boleh dirujuk pada artikel yang pernah dikeluarkan sebelum ini berkenaan kiraan kadar kerja lebih masa/overtime (OT).

Kurang Waktu Kerja Jadi Gaji Pun Kurang Ke?

Kini sudah tiba masa untuk menjawab persoalan yang sering menjadi tanda tanya semua – adakah majikan boleh kurangkan gaji pekerja selepas berlaku pengurangan tempoh waktu bekerja 45 jam seminggu?

Jawapannya adalah TIDAK BOLEH. Majikan tidak boleh mengurangkan gaji pekerja walaupun selepas tempoh waktu bekerja dikurangkan kepada 45 jam seminggu. Ia sudah termaktub pada Seksyen 60A dan 60C, Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022.

Namun, apa yang majikan boleh buat di sini adalah dengan menukar sistem kerja 6 hari seminggu kepada 5 hari seminggu. Dengan cara ini tempoh waktu bekerja sehari akan bertambah tetapi masih mengikuti aturan kerja 45 jam seminggu.

Contohnya, sistem kerja 5 hari seminggu ini akan menyaksikan pekerja bekerja semalam 9 jam sehari (9 jam X 5 hari = 45 jam seminggu).

Ternyata tiada alasan untuk mana-mana majikan gagal mengikuti pindaan baharu tempoh waktu bekerja ini. Ia telah dirangka dengan teliti sebelum dibenarkan berkuatkuasa, dan diberi peluang kepada majikan untuk melaksanakannya.

Malah, jika ada majikan yang mengingkari pelaksanaannya tindakan keras boleh dikenakan seperti yang diumumkan oleh Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor pada 2022 dahulu.

Jadinya penting untuk anda sebagai majikan atau pekerja fahami pindaan tempoh waktu bekerja ini. Jika syarikat anda gagal mematuhi pindaan ini maka syarikat tersebut boleh dikenakan tindakan keras sehingga menjejaskan operasi secara menyeluruh.

16 Comments

  • ejanshah says:

    Assalamualaikum, saya pekerja hotel dimana shift terbahagi kepada 3 dan mendapat cuti (Off day) 6 hari seminggu. saya ingin bertanya untuk 45jam waktu bekerja seminggu ini, adakah dikira termasuk off day atau bagaimana pengiraan jam waktu bekerja seseorang pekerja itu.

    • Zahin Byond says:

      Akta Kerja 1955 menetapkan tempoh waktu bekerja seminggu tidak melebihi 45 jam seminggu ini termasuk hari cuti (off day), sama ada hari tersebut Sabtu atau Ahad atau pada hari minggu lain.

  • Logeswary says:

    Saya berkerja sebagai industrial nurse dia kilang. Sy bekerja 12 jam sehari,boleh tau saya masa rehat sehari berapa minit .

    • Zahin Byond says:

      Akta Kerja 1955 telah menetapkan bahawa pekerja tidak boleh bekerja lebih 5 jam tanpa rehat sekurang-kurangnya 30 minit dan tidak boleh bekerja lebih 45 jam seminggu.

  • Mohamad Rashid Bin Haji Mat Yassin says:

    Saya bekerja sebagai Pengawal Keselamatan selama 12 jam(termasuk 4 jam kerja lebih masa) sehari dan 6 hari bekerja dalam seminggu.
    1. Berapa lamakah masa rehat sepatutnya diberi kepada pekerja dalam masa 12 jam bekerja?

    • Zahin Byond says:

      Di dalam Akta Kerja ada menggariskan hak pekerja untuk mendapat rehat sekurang-kurangnya 30 minit selepas bekerja 5 jam berturut-turut.

  • Lida says:

    Bolehkah seorang majikan mengarahkan pekerja untuk bekerja lebih dari 12 jam kerana tak cukup manpower & urgent matter?rehat diberikan setiap 5 jam & OT diberikan mengikut pengiraan yang termaktub di dalam akta.

    • Zahin Byond says:

      Tempoh waktu bekerja telah ditetapkan di dalam Akta Kerja 1955, dan jika majikan meminta pekerja bekerja lebih masa maka pekerja layak menerima pembayaran OT.

  • Alief Asyraff says:

    Saya kerja 24jam untuk penukaran shift . Kemudian sy sambung lagi 12jam . Tetapi Pembayaran secara cincai 😅 . Boleh tak mcm tu , Satu shift 7am-7pm dibayar rm60 .

    • Zahin Byond says:

      Akta Kerja 1955 ada menetapkan tentang bekerja shift. Setiap syarikat memiliki polisi tersendiri apabila melibatkan shift lebih-lebih lagi bagi shift berterusan yang memerlukan pekerja untuk bertukar-tukar tanpa menghentikan tugasan tersebut. Di nasihatkan untuk rujuk semula polisi syarikat.

  • Azizan says:

    Saya nak tanya adakah benar PINDAAN akta di bawah ini?

    1) Akta Kerja 1955 Waktu Bekerja Seminggu
    PINDAAN: Akta buruh waktu bekerja seminggu maksimum 45 jam sahaja (termasuk waktu rehat) tidak kira anda kerja 12 jam, shift malam atau siang tetap, ini undang undang terbaru di malaysia.12 Jul 2024

    Jika benar, waktu pekerja sepatutnya bekerja adalah 8.00 pagi hingga 5.00 petang kan? Bukan 8.00 pagi hingga 5.30 petang kan? (Ini jika termasuk waktu rehat 1 jam)

    Jika dikira waktu kerja 8.00 pagi hingga 5.30 petang x 5 hari = 47.5 jam (termasuk waktu rehat 1 jam)

    Mohon pencerahan..

    Terima kasih..

    • Zahin Byond says:

      Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 telah menetapkan tempoh waktu bekerja seminggu tidak lebih 45 jam, ini bermakna syarikat tidak boleh memaksa pekerja bekerja melebih 45 jam dalam tempoh seminggu. Setiap syarikat memiliki polisi bekerja tersendiri, dinasihatkan untuk rujuk semula tempoh waktu bekerja syarikat.

  • Nizam says:

    Saya bekerja selama 11.25 jam sehari x 16 hari sebulan. Jika mengambil sehari cuti tahunan atau sehari cuti sakit, berapakah jumlah jam yang patut dikira untuk hari cuti tersebut? Adakah 8jam atau 11.25jam?

    • Zahin Byond says:

      Cuti tahunan dan cuti sakit adalah hak pekerja seperti yang dinyatakan dalam Akta Kerja. Di sini pekerja berhak untuk menggunakannya berdasarkan penetapan yang ditetapkan dalam undang-undang kerja.

  • NORZAMZAM YUSSOF says:

    Hi . Saya nak tany . Harap saya dapat jawapan .. waktu berkerja 9 jam seminggu dah termasuk waktu rehat atau belom ? Sekarang saya kerja masuk 9pagi balik 7malam (10jam) . Dan diberi rehat 1jam .. jadi berkerja 9 jam . Bukan kah sepatutnya masuk 9 balik 6 petang ke?

    • Zahin Byond says:

      Mengikut akta kerja 1955, tempoh waktu bekerja ditetapkan adalah selepas 5 jam bekerja perlu rehat sekurang-kurangnya 30 minit dan tidak lebih 8 jam sehari atau melebihi 10 jam dalam satu hari dan tidak lebih 45 jam sehari

Leave a Reply