Skip to main content

Walaupun sudah masuk tahun 2023 tapi isu amalan buruh paksa masih jadi topik hangat dengan beberapa syarikat di Malaysia dikenakan sekatan perdagangan oleh Amerika Syarikat pada tahun lepas.

Sungguhpun sekatan perdagangan tersebut telah ditamatkan dan kerajaan Malaysia sudah meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa sebagai bukti komitmen tangani amalan buruh paksa, isu ini tidak boleh dipandang.

Atas faktor itu Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 mengariskan keperluan perlindungan larangan buruh paksa dengan mentakrifkan jenis-jenis kesalahan serta hukuman jika didapati bersalah.

Perundangan Buruh di Malaysia

Bagi membincangkan perlindungan dan larangan amalan buruh paksa di Malaysia kita perlu merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu. Pada Bahagian 2 Perkara 6, Keabdian dan Kerja Paksa Dilarang, ada menerangkan secara jelas tentang peraturan yang melarang sebarang bentuk paksaan dalam pekerjaan.

Perkara 6 (1) menggariskan bahawa tiada seorang pun boleh ditahan sebagai abdi dan Perkara 6 (2) pula menerangkan dengan jelas di mana segala bentuk kerja secara paksa adalah dilarang sama sekali.

Berdasarkan 2 seksyen ini kita dapat gambaran bahawa seorang pekerja tidak boleh dipaksa untuk bekerja atau berkhidmat tanpa kerelaan, atau dilayan seperti seorang hamba oleh mana-mana pihak. Sebarang rujukan lanjut mengenai perundangan ini boleh dibuat pada Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Seksyen 2 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) turut menggariskan larangan perhambaan dengan mendefinisikan ‘eksploitasi’ pekerja.

Maka jelas di sini bahawa larangan buruh paksa bukan perkara baru dalam perundangan Malaysia, tetapi isu amalan buruh paksa masih berterusan dalam kalangan industri-industri kerja negara.

Indikator Buruh Paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa

Jika dilihat pada Konvensyen Buruh Paksa 1930, sebarang kerja atau perkhidmatan yang dilakukan seseorang di bawah ancaman apa-apa bentuk dan tanpa kerelaan dikelaskan sebagai buruh paksa. Malah, Pertubuhan Buruh Antarabangsa ada mengeluarkan indikator buruh paksa yang mengandungi 11 perkara bagi menjelaskan  bentuk ancaman tersebut.

  1. Penganiayaan golongan rentan
  2. Penipuan 
  3. Penghambaan hutang
  4. Keganasan fizikal dan seksual
  5. Ancaman dan ugutan
  6. Isolasi
  7. Penahanan dokumen pengenalan diri
  8. Penahanan gaji
  9. Kerja lebih masa berlebihan
  10. Sekatan pergerakan
  11. Tempat kerja dan tempat tinggal tidak kondusif

Akta Kerja 1955 dan Larangan Buruh Paksa

Jika dilihat pada pindaan yang dibuat pada Akta Kerja 1955, salah satu perkara yang digariskan adalah berkenaan buruh paksa.

Pindaan Seksyen 90B yang dibuat pada 2022 dan berkuatkuasa 1 Janauri 2023 ini telah mentakrifkan ugutan, penipuan atau paksaan oleh majikan sebagai amalan buruh paksa. Pada seksyen sama turut menyatakan perbuatan menghalang pekerja untuk keluar dari tempat kerja juga ditarifkan sebagai amalan buruh paksa.

Antara bentuk ugutan, penipuan, paksaan dan larangan yang boleh dikasifikasikan sebagai buruh paksa adalah:

  • Ugut mencederakan pekerja, tidak bayar gaji atau menyerahkan pekerja ke pihak berkuasa (pekerja bukan warganegara)
  • Tipu bayaran gaji, skop kerja atau buat potongan kos imigresen tapan persetujuan pekerja (pekerja bukan warganegara)
  • Paksa pekerja kerja lebih dari tempoh masa tanpa persetujuan atau paksa pekerja kerja di persekitaraan yang berbahaya tanpa perlindungan keselamatan
  • Sekat pekerja kelaur dari tempat kerja dengan meletakkan pengawal atau pemerhati tanpa pengetahuan dan persetujuan pekerja

Jika majikan didapati bersalah dan mengamalkan buruh paksa, pekerja boleh membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dengan hukuman denda sebanyak RM100,000 atau penjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesimpulan yang boleh diambil di sini adalah walaupun terdapat perundangan khusus berkenaan larangan buruh paksa di Malaysia tapi penguatkuasaan terhadapnya kurang dilaksanakan.

Sebagai majikan kita perlu amalkan persekitaran kerja yang selesa dan selamat kerana pekerja yang bekerja dalam kondisi yang baik boleh meningkatkan produktiviti kerja untuk kemajuan syarikat.

Leave a Reply