Pernahkah anda terfikir apakah sebenarnya hak seorang lelaki yang baru bergelar bapa di tempat kerja? Atau adakah anda majikan yang tertanya-tanya, apakah kewajipan anda kepada pekerja lelaki selepas kelahiran anak mereka?
Dalam dunia kerja yang semakin moden, peranan bapa bukan lagi sekadar pencari nafkah. Kehadiran mereka pada minggu pertama selepas kelahiran menjadi kunci kestabilan emosi keluarga. Inilah sebabnya cuti paterniti bukan lagi satu keistimewaan, tetapi satu keperluan.
Atas faktor itu, Akta Kerja 1955 telah memperuntukkan cuti khas kepada pekerja lelaki yang baru sahaja menimang cahaya mata iaitu cuti paterniti.
Apa Itu Cuti Paterniti?
Cuti paterniti merujuk kepada tempoh cuti berbayar yang diberikan kepada pekerja lelaki selepas kelahiran anak sebagai peluang untuk memberikan sokongan kepada isteri dan membantu dalam penjagaan awal bayi.
Di bawah Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022, jumlah cuti paterniti telah dinaikkan daripada 3 hari kepada 7 hari berbayar, selaras dengan pendekatan yang lebih inklusif dan berorientasikan keluarga.
Pindaan ini mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 dan terpakai kepada pekerja di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Syarat Kelayakan Cuti Paterniti di Malaysia
Menurut Seksyen 60FA Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022, terdapat beberapa syarat utama yang perlu dipenuhi oleh pekerja lelaki untuk layak menikmati cuti paterniti berbayar:
- Perkahwinan yang sah: Pekerja mestilah berkahwin secara sah dengan pasangan.
- Tempoh perkhidmatan minimum: Bekerja sekurang-kurangnya 12 bulan berturut-turut dengan majikan yang sama.
- Pemberitahuan kepada majikan: Perlu memaklumkan kepada majikan sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh jangkaan bersalin atau seawal mungkin selepas kelahiran.
- Had kelayakan: Terhad kepada 5 kali kelahiran sahaja sepanjang tempoh pekerjaan, tanpa mengambil kira bilangan isteri.
Nota penting:
- Jika isteri melahirkan anak kembar (dua, tiga atau lebih), ia dikira sebagai satu kelahiran.
- Jika dua isteri melahirkan dalam tahun yang sama, ia dikira sebagai dua kelahiran berasingan.
Selain itu, cuti paterniti ini bersifat berterusan dan termasuk hari rehat mingguan, cuti umum serta cuti sakit. Ini bermakna pekerja tidak boleh mengambil cuti secara berselang-seli, contohnya Isnin cuti, Selasa bekerja, kemudian Rabu cuti semula.
Keperluan dan Kepentingan Cuti Paterniti
Peranan seorang suami dan bapa sangat penting, khususnya dalam tempoh kritikal minggu pertama selepas kelahiran. Isteri yang baru bersalin biasanya mengalami perubahan hormon yang mendadak, keletihan fizikal, serta tekanan emosi yang boleh mendorong kepada kemurungan selepas bersalin (postpartum depression).
Di sinilah kehadiran bapa amat diperlukan bagi memberikan:
- Sokongan emosi kepada isteri yang masih dalam tempoh pemulihan.
- Bantuan fizikal dalam menguruskan bayi dan urusan rumah tangga.
- Kerjasama dalam pendaftaran kelahiran dan hal-hal dokumentasi penting.
Walaupun hanya 7 hari, cuti ini bernilai tinggi untuk kestabilan emosi keluarga, khususnya dalam memberi ruang masa kepada bapa menyesuaikan diri dengan peranan baharu dan memperkukuh hubungan kekeluargaan.
Kenapa Cuti Paterniti Perlu Dimanfaatkan?
Setiap pekerja lelaki yang bergelar bapa mempunyai tanggungjawab berganda, bukan sahaja mencari rezeki tetapi juga memastikan kesejahteraan isteri dan anak. Cuti paterniti ini bukan semata-mata keistimewaan, tetapi satu hak yang dijamin undang-undang.
Manfaatkan sepenuhnya cuti yang diberi untuk:
- Menunjukkan keprihatinan sebagai suami dan bapa.
- Membantu meringankan beban pasangan.
- Menjalin ikatan awal yang kukuh bersama anak.
Baca juga: Fakta Cuti Bersalin dan Elaun Bersalin Pekerja Wanita
Kesimpulannya, dengan pindaan Akta Kerja 1955, cuti paterniti di Malaysia kini lebih mesra kepada keluarga. Majikan juga perlu memahami kepentingan cuti ini dan menyokong pekerja lelaki yang mengambilnya tanpa prejudis.
Sementara itu, pekerja pula perlu peka terhadap syarat kelayakan dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Jadilah bapa yang bukan hanya bertanggungjawab di tempat kerja, tetapi juga di rumah. Kerana keluarga adalah amanah yang paling utama.
Pengurusan Pekerja Boleh Jadi Mencabar Tanpa MySyarikat!
Sebagai majikan, menguruskan pelbagai jenis pekerja boleh menjadi tugas yang rumit. Tanpa sistem yang teratur, risiko salah pengiraan, rekod bercelaru, atau ketidakpatuhan terhadap polisi adalah tinggi.
Perkenalkan MySyarikat, sistem HRMS (Human Resource Management System) automasi yang membantu majikan:
- Mengautomasikan tugasan: Semua tugasan direkodkan secara digital untuk memudahkan semakan.
- Menguruskan pengurusan secara online: Sebarang tugasan kini boleh diakses dengan satu klik.
- Memastikan pematuhan: Sistem direka untuk mematuhi undang-undang kerja di Malaysia.
Tidak kira sama ada anda majikan SME atau syarikat besar, MySyarikat adalah penyelesaian lengkap untuk pengurusan sumber manusia anda!
Mari BOOK DEMO untuk dapatkan sistem MySyarikat sekarang!

adakah cuti paterniti 7hari yg diperuntukkan ini ditolak dr cuti tahunan
Tidak. Cuti paterniti dan cuti tahunan adalah 2 cuti berbeza.
seperti yg dinyatakan dlm akta ini, syarat kelayakkan cuti paterniti hanya terhad kepada 5 kelahiran.. isteri sy akan melahirkan anak yg ketujuh tetapi merupakan anak yg pertama sy bekerja didalam company ini.. adakah sy blh mendapatkan cuti paterniti didlm company ini
Tidak, kerana ia terhad kepada 5 kali kelahiran tanpa mengira syarikat.
utk makluman pihak tuan, sy adalah bekas anggota tentera & kesemua anak sy yg sebelum² ini dilahirkan sy sebagai penjawat awam.. adakan untuk kelahiran anak sy yg akan datang(anak ke-7), sy sudah pun bekerja swasta, masih dikira tidak layak juga ka utk terima cuti paterniti
Layak dapat dengan syarat
– sudah bekerja selama 12 bulan berturut2 dengan majikan sama.
– sudah maklumkan kepada majikan mengenai isteri mengandung 30 hari sebelum dari tarikh bersalin.
Jika belum bekerja selama 1 tahun dengan majikan swasta, maka tidak layak.
Cuti paternity untuk kerajaan atau swasta? Dan kalau swasta memang wajib ke syarikat bagi atau tak
Terpakai kepada dua-dua sektor, dan majikan wajib berikan jika cukup syaratnya.
kalau majikan tak bagi cuti selama 7 hari, boleh ke kita pergi ke pejabat buruh untuk tuntut?
Boleh.
boleh tahu akta yang terbaru untuk peruntukan cuti 7hari untuk suami ni?
Boleh rujuk pada Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 seperti dalam artikel.
adakah ini boleh digunakan untuk anak pertama sahaja? atau untuk semua anak?
Mengikut Akta Kerja ia terhad kepada 5 kelahiran sahaja.
Jika isteri bersalin pada waktu malam selepas waktu bekerja, adakah cuti paterniti sudah dikira sebagai satu hari pada hari tersebut walaupun suami sudah seharian bekerja pada hari tersebut.
Ia bermula pada keesokan harinya tapi suami wajib maklumkan kepada majikan seawal mungkin.
Jika pekerja baru berkerja selama 6 bulan dengan syarikat tersebut, adakah dia layak mendapat peruntukan cuti 7 hari tersebut?
Syarat kelayakan cuti paterniti adalah sekurang-kurangnya sudah bekerja 12 bulan dengan majikan yang sama.
Nak tanya, kalau suami sudah ambil cuti paterniti 7 hari.. kemudian, mohon ctr kelompok untuk sambung cuti paterniti tu..bolehkah?
Bergantung kepada polisi syarikat.
Jika pekerja gaji hari..adakah 7 hari berterusan termasuk ahad?