Di bawah perundangan kerja utama negara, Akta Kerja 1955 telah dinyatakan 6 jenis cuti yang berhak untuk pekerja. Jika majikan meminta pekerja untuk bekerja pada mana-mana hari dalam 6 jenis cuti tersebut, maka pekerja itu layak untuk menerima bayaran kerja lebih masa (OT).
Selain itu, Akta Kerja 1955 juga ada menetapkan hari-hari cuti umum yang wajib syarikat berikan berserta kuota yang perlu diikuti. Tetapi ini tidak bermakna syarikat tidak boleh mengambil lebih banyak cuti untuk pekerjanya.
Salah satu cuti yang tidak dinyatakan dalam Akta Kerja 1955 dan seratus peratus bergantung kepada polisi syarikat semata-mata adalah Cuti Sabatikal.
Mungkin istilah Cuti Sabatikal ini tidak pernah didengari oleh kebanyakan syarikat di Malaysia, namun lebih kurang 10% syarikat-syarikat diseluruh dunia mengamalkan sebagai salah satu cara untuk menunjukkan penghargaan kepada pekerja.
Definisi Cuti Sabatikal
Secara dasarnya cuti sabatikal merujuk kepada tempoh rehat dari perkhidmatan untuk jangka masa panjang tanpa kehilangan status pekerjaan dalam sesebuah syarikat. Biasanya seorang yang sudah lama bekerja untuk satu syarikat akan dibenarkan ambil cuti untuk satu tempoh yang panjang sebagai ganjaran.
Ia berbeza dengan Cuti Tahunan yang jumlahnya tetap berdasarkan tempoh perkhidmatan pekerja, jumlah hari Cuti Sabatikal bergantung kepada polisi syarikat yang mengamalkannya. Ada syarikat yang luluskan Cuti Sabatikal selama sebulan dan ada juga yang berikan sehingga 3 bulan lamanya.
Amalan Cuti Sabatikal ini biasanya dipratikkan dalam bidang akedemik dengan pihak universiti membenarkan pensyarah ambil satu tempoh cuti yang panjang atas tujuan membuat kajian. Pensyarah yang bercuti ini tidak perlu hadir sebarang syarahan tetapi ia tidak putus perkhidmatannya dengan pihak universiti.
Dalam konteks dunia pekerja pula Cuti Sabatikal biasanya diberikan kepada pekerja selepas lama berkhidmat untuk syarikat, lebih kurang 5 tahun atau lebih sebagai ganjaran. Semasa tempoh ini pekerja tidak terikat kepada tugasan tetapi tidak dikira putus perkhidmatannya.
Aplikasi Cuti Sabatikal di Malaysia
Berkenaan aplikasi Cuti Sabatikal ini ia bergantung kepada polisi sesuatu syarikat itu sendiri. Seperti yang dinyatakan awal tadi hanya 10% syarikat di seluruh dunia mengamalkan Cuti Sabatikal untuk pekerja.
Hal ini kerana kebiasaan tempoh untuk Cuti Sabatikal adalah antara satu bulan dan masih dibayar gaji penuh. Pada sesetengah syarikat pula mereka mungkin beri Cuti Sabatikal 1 bulan dengan bayaran separuh gaji.
Memandangkan ia hanya sekadar polisi semata-mata dan atas perjanjian hitam putih antara majikan dan pekerja, maka mereka yang ambil Cuti Sabatikal juga boleh tidak dibayar gaji langsung sepanjang tempoh itu.
Jadi tidak hairan jika kebanyakan syarikat tidak menawarkan Cuti Sabatikal kepada pekerja. Kebanyakan syarikat-syarikat gergasi yang mendapat keuntungan besar sahaja yang setakat ini menawarkan Cuti Sabatikal kepada pekerjanya sebagai ganjaran. Namun, masih jarang diamalkan di kebanyakan negara.
Bagi konteks kerja di Malaysia, majikan jarang berikan Cuti Sabatikal sebagai ganjaran kepada pekerja yang lama berkhidmat untuk mereka. Sebaliknya majikan sering kali beri ganjaran dalam bentuk monetari (wang) seperti bonus.
Malah, buat masa kini Cuti Sabatikal dilihat tidak praktikal di Malaysia kerana Akta Kerja 1955 sendiri sudah menyenaraikan banyak faedah cuti kepada pekerja. Kajian yang dilakukan juga mendapati syarikat-syarikat di Malaysia antara yang paling banyak beri pekerja cuti di Asia Tenggara.
Polisi Cuti Sabatikal di Malaysia
Andai suatu syarikat itu ingin menawarkan Cuti Sabatikal kepada pekerja, terdapat banyak perkara yang perlu diambil kira bagi memastikan situasi menang-menang (win-win) antara kedua-dua pihak.
Tentunya sebagai majikan, pemberian Cuti Sabatikal ini boleh mendatangkan kerugian jika pekerja tidak menjalankan tugasan selama sebulan tetapi dibayar gaji penuh. Dan sebagai pekerja pula apabila bercuti terlalu lama boleh menyebabkan jawatan mereka diganti oleh orang lain.
Jadinya ambil masa untuk rangka hitam putih yang memenangkan kedua-dua belah pihak kerana tidak dinafikan polisi Cuti Sabatikal ini ada kelebihannya dalam memastikan pekerja dapat rehat yang diperlukan dan cara untuk syarikat tunjuk penghargaan.
Walau apa keputusan yang dibuat ia perlu mengambil kira peraturan yang ada dalam Akta Kerja 1955 memandangkan perundangan kerja tersebut bukan sahaja direka untuk menjaga hak pekerja sahaja tetapi juga majikan.