Semua sedia maklum bahawa sebaik menerima tawaran kerja, perkara pertama yang perlu dibuat adalah dapatkan surat tawaran dan menandatanganinya. Surat tawaran kerja yang diberikan bertujuan sebagai persetujuan awal antara pekerja dan majikan.
Namun, sering terjadi kes apabila calon pekerja yang sudah menandatangani surat tawaran menghubungi majikan untuk menolak tawaran kerja diberikan kerana peroleh tawaran yang lebih baik di tempat lain.
Persoalannya adakah pekerja boleh menolak surat tawaran kerja selepas menandatanganinya?
Definisi Surat Tawaran
Seperti yang disebutkan awal tadi bahawa tujuan surat tawaran diberikan adalah sebagai persetujuan awal. Ini bermakna sebaik pekerja menandatangani surat tawaran ia telah memulakan perhubungan antara pekerja dan majikan.
Mudah kata surat tawaran adalah proses awal yang mengikat persetujuan pekerja untuk berkhidmat dengan majikannya. Maksudnya calon pekerja setuju dengan segala syarat bekerja di bawah majikan.
Oleh itu, calon pekerja dinasihatkan untuk baca surat tawaran yang diberikan dengan teliti kerana terkandung dalamnya terma dan syarat pekerjaan termasuk persetujuan gaji. Suka diingatkan sebarang rundingan gaji perlu dibuat sebelum menerima surat tawaran.
Atas faktor itu juga pekerja perlu menyimpan beberapa salinan surat tawaran sebagai rujukan jika berlaku sebarang masalah atau pertikaian bersama majikan.
Di sini perlu difahamkan bahawa surat tawaran dan kontrak perkhidmatan dua adalah perkara berbeza namun fungsinya sama. Surat tawaran diberikan sebagai pengesahan mendapat jawatan dipohon, sementara kontrak kerja adalah surat pengesahan bekerja.
Surat Tawaran dan Kontrak Kerja
Menurut Akta Kerja 1955, kontrak kerja atau disebut sebagai kontrak perkhidmatan adalah sebuah perjanjian tidak kira sama ada lisan atau bertulis di mana seorang individu itu bersetuju untuk mengambil pekerja lain sebagai pekerjanya.
Jadi berdasarkan definisi tersebut surat tawaran kerja, yang mengandungi syarat yang hampir sama dengan kontrak kerja, sudah lebih daripada cukup untuk dikatakan sebagai perjanjian penggajian pekerja yang sah di Malaysia.
Sungguhpun begitu, Mahkamah Perindustrian pula memutuskan keputusan sebaliknya untuk surat tawaran. Keputusan tersebut mengatakan,
- Surat tawaran tidak bermaksud permulaan hubungan kerja antara calon pekerja dan majikan
- Majikan bebas buat kontrak pekerjaan baru yang akan menggantikan surat tawaran
- Surat tawaran yang diberikan adalah tidak lengkap jika tidak mengandungi syarat penggajian
- Surat tawara tidak boleh ‘berdiri sendiri’
Umumnya, amalan pemberian surat tawaran di Malaysia dilakukan untuk memaklumkan pekerja bahawa jawatan yang dimohon diterima majikan. Kemudian semasa lapor diri pekerja perlu menandatangai pula kontrak kerja sekali dengan surat tawaran.
Bolehkah Pekerja Menolak Surat Tawaran?
Secara teorinyna calon pekerja yang menolak tawaran selepas menandatangani surat tawaran telah melakukan pelanggaran kontrak dan majikan berhak untuk menuntut ganti rugi.
Tetapi secara teknikalnya pula tidak menjadi kesalahan untuk pekerja yang sudah menandatangani surat tawaran menolak tawaran kerja bersama majikan selagi belum melapor diri.
Hal ini kerana tuntutan ganti rugi hanya boleh dibuat jika pekerja didapati melanggar persetujuan kontrak, dalam erti kata lain menyebabkan kerugian kepada syarikat. Memandangkan baru diperingkat surat tawaran, tiada apa-apa kos kerugian ditanggung.
Malah, rata-rata syarikat mengamalkan tempoh percubaan (probation period) yang membenarkan majikan untuk menilai prestasi pekerja sebelum mengambil kerja sebagai pekerja tetap.
Jadinya pekerja boleh memutuskan untuk menolak tawaran kerja walaupun sudah menandatangani surat tawaran selagi masih tidak melapor diri atau menandatangani kontrak kerja bersama majikan.
Bagi pihak majikan pula, apa yang boleh dibuat sekiranya calon pekerja memutuskan untuk tolak tawaran walaupun selepas menandatangani surat adalah ‘move on’. Ia sudah menjadi perkara kebiasaan dan tiada apa-apa yang boleh dibuat.
Ambil masa untuk cari semula calon yang lebih baik dan berpengalaman yang diperlukan syarikat dengan meningkatkan tawaran kerja atau program pengambilan pekerja anda.