Skip to main content

Pertubuhan Keselamatan Social (PERKESO) merupakan sebuah badan diselia kerajaan yang bertanggungjawab menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada para pekerja yang berdaftar sebagai ahlinya di Malaysia.

Melaluinya terdapat beberapa perkhidmatan yang ditawarkan seperti Skim Perlindungan Pekerja Bermajikan, Skim Perlindungan Pekerja Asing, Skim Perlindungan Pekerja Domestik, Skim Perlindungan Pekerja Sendiri dan Skim Perlindungan Suri Rumah.

Selain itu, terdapat juga Skim Bencana Pekerjaan, Skim Keilatan dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang merupakan sebahagian daripada Skim Perlindungan Pekerja Bermajikan.

Jika sebelum ini MySyarikat sudah beberapa kali kongsikan topik berkenaan PERKESO seperti pengenalan kepada PERKESO, faedah caruman PERKESO bagi pekerja sendiri, faedah caruman PERKESO bagi pekerja asing, dan cara mendaftar PERKESO.

Artikel kali ini akan menerangkan pula lebih lanjut tentang cara untuk memohon faedah-faedah yang ditawarkan PERKESO kepada ahlinya.

Kadar Caruman PERKESO

Sebelum sentuh tentang cara memohon faedah PERKESO adalah penting untuk difahamkan terlebih dahulu tentang kadar carumannya. Kadar caruman PERKESO telah ditetapkan pada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan terdapat 2 jenis iaitu, 

  1. Caruman Jenis Pertama
  • Bagi pekerja berusia di bawah 60 tahun, caruman kena dibayar oleh majikan dan pekerja pada Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan
  • Kadar caruman adalah 1.75% syer majikan dan 0.5% syer pekerja berdasarkan gaji bulanan, mengikut kadar jadual caruman PERKESO
  • Pekerja yang belum berusia 60 perlu dicarum dengan jenis ini kecuali bagi yang telah berusia 55 tahun dan tiada caruman dibayar sebelum berusia 55 tahun
  1. Caruman Jenis Kedua
  • Kadar caruman sebanyak 1.25% daripada gaji pekerja tetapi hanya dicarum oleh syer majikan sahaja mengikut kadar jadual caruman PERKESO
  • Bagi yang berusia 60 tahun perlu mencarum jenis ini bagi perlindungan Skim Bencana Pekerjaan sahaja.
  • Pekerja baru yang berusia 55 tahun perlu mencarum pada jenis ini

Kadar caruman untuk Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) pula telah ditetapkan pada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dengan menetapkan semua majikan di pihak swasta perlu membayar caruman bagi setiap pekerjanya.

Ia terpakai kepada semua pekerja berusia dari 18 tahun ke 60 tahun, kecuali bagi pekerja yang berusia 57 ke atas yang tidak pernah mencarum sebelum ini. Kadar ditetapkan adalah sebanyak 0.2% oleh kedua-dua syer majikan dan pekerja.

Permohonan Faedah PERKESO

Bagi memohon faedah yang ditawarkan PERKESO, para pekerja dinasihatkan untuk pergi ke pejabat atau cawangan PERKESO terdekat. Sebarang rujukan lanjut boleh dibuat pada laman rasmi PERKESO.

Perkara pertama yang perlu pekerja lakukan sebelum membuat sebarang permohonan adalah untuk mengenal pasti faedah yang ditawarkan.

Tidak kira sama ada untuk faedah Hilang Upaya Sementara (HUS), Hilang Upaya Kekal (HUK), Pencen Ilat, Pencen Penakat, Penyakit Khidmat, Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) atau Suri Rumah terdapat borangnya tersendiri yang berbeza-beza.

Selepas mengenal pasti jenis faedah dan mengisi borang untuk faedah yang ingin dituntut, pekerja dikehendaki untuk lengkapkan pula Borang 34 PERKESO kemudian diserahkan kepada majikan untuk diisi bagi permohonan faedah yang memerlukan pengesahan majikan.

Langkah terakhir selepas selesai melengkapkan segala borang-borang untuk faedah yang ingin dimohon, pekerja boleh menghantar borang melalui dua cara dengan:

  • Hantar borang dan dokumen sokongan di kaunter pejabat PERKESO berdekatan
  • Hantar borang dan dokumen sokongan yang diimbas oleh majikan kemudian hantar ke PERKESO melalui Portal Permohonan Faedah

Seterusnya, bagi pekerja yang mencarum tetapi diberhentikan kerja pula boleh membuat tuntutan faedah SIP yang berkuatkuasa sejak 1 Januari 2018. Untuk rujukan lanjut berkenaan faedah SIP ini boleh dirujuk pada artikel tuntutan SIP yang pernah diterbitkan dulu.

Jadinya anda sebagai pekerja yang mencarum pada PERKESO perlu fahami hak untuk mendapatkan perlindungan. Perlu diingatkan setiap faedah yang ditawarkan ini berbeza-beza jadi anda perlu kenal pasti jenis faedah mana yang sesuai untuk anda sebelum buat permohonan.

Leave a Reply