Skip to main content

Setakat ini semua sedia maklum yang gaji merupakan imbuhan wajib diberikan kepada pekerja oleh majikan untuk tempoh satu bulan perkhidmatan. Malah sebelum ini MySyarikat juga pernah beberapa kali bincangkan berkenaan topik gaji ini.

Dari yang asas seperti pengiraan gaji bulanan, kemas kini gaji minimum negara sehingga ke yang lebih rumit contohnya gaji prorata pekerja dan potongan-potongan gaji yang dibenarkan undang-undang.

Tetapi topik gaji sebenarnya hanya sebahagian kecil daripada tajuk besar imbuhan. Terdapat banyak lagi imbuhan-imbuhan kerja yang mungkin para majikan atau pegawai di bahagian Sumber Manusia (HR) tidak tahu.

Jadi artikel kali ini akan menerangkan secara lengkap panduan imbuhan-imbuhan kerja di Malaysia. Sebelum itu suka diingatkan bahawa imbuhan-imbuhan kerja dan faedah-faedah kerja adalah dua perkara berbeza. Tanpa membuang masa mari kenali perbezaan di bawah.

Apa Yang Dikategorikan Sebagai Imbuhan Kerja?

Secara definisinya imbuhan atau remuneration dalam Bahasa Inggeris adalah segala pembayaran, pada sesetengah kes ia turut disebut sebagai pampasan yang diterima oleh pekerja sebagai balasan untuk perkhidmatan yang diberikan.

Pada saat ini anda mungkin akan perasan yang definisi gaji dan imbuhan ini adalah perkara sama. Hal ini kerana pada dasarnya gaji adalah pemberian wajib dan bentuk imbuhan lain-lain seperti elaun, komisen atau gabungannya diberikan sebagai tambahan.

Namun, pada zaman sekarang ini gaji sering diberikan bersama elaun atau komisen bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan. Maka, istilah imbuhan digunakan bagi menyebut sumber pendapatan tambahan yang diberikan bersama gaji itu.

Mari lihat apa yang dikategorikan sebagai imbuhan pada ringkasan di bawah.

  1. Gaji
  • Dibayar pada kadar bulanan untuk tempoh perkhidmatan sebulan
  • Tempoh pembayaran mesti dalam tujuh (7) hari pertama setiap bulan
  • Pembayaran wajib oleh majikan kepada pekerja
  • Peraturan pembayaran ditetapkan oleh Akta Kerja 1955
  1. Elaun
  • Bayaran sampingan yang diberikan bersama gaji
  • Pemberiannya bersama gaji disebut sebagai gaji kasar
  • Ia boleh diberikan secara berulang atau sekali (one-off)
  • Contoh: elaun perjalanan, elaun makan atau subsidi pinjaman perumahan
  1. Bonus
  • Diberikan atas pilihan syarikat berdasarkan prestasi pekerja
  • Pemberiannya tidak terikat kepada penetapan kontrak perkhidmatan pekerja
  • Dikenali sebagai ‘gaji bulan ke-13’ dan dibayar tanpa mengikut penetapan nilai
  • Boleh diberikan secara berkala atau sekali (one-off)
  1. Komisen
  • Dibayar berdasarkan persetujuan kontrak dan merupakan sebahagian dari gaji kasar
  • Selalunya diberikan lepas pekerja mencapai sasaran penjualan yang ditetapkan
  • Ia berubah mengikut prestasi penjualan dan tiada penetapan nilai tetap
  • Pemberiannya adalah tambahan kepada gaji pekerja

Penerangan lanjut tentang elaun, bonus dan komisen ini boleh dirujuk pada artikel perbezaan imbuhan yang pernah diterbitkan sebelum ini. 

Adakah Imbuhan Kerja Mesti Dalam Bentuk Wang Sahaja?

Selain daripada imbuhan-imbuhan yang dinyatakan di atas, terdapat juga imbuhan bukan kewangan (non-monetary) yang turut diberikan untuk keselesaan pekerja atau kemudahan pekerjaan. Antara imbuhan bukan kewangan yang diberikan adalah,

  • Insurans kesihatan
  • Faedah pergigian atau optik
  • Kursus latihan dan pengembangan kerjaya
  • Pemberian telefon bimbit dan perkhidmatan internet mudah alih
  • Kereta, penginapan atau diskaun kakitangan

Bagi yang pernah baca artikel faedah monetari dan bukan monetari yang pernah MySyarikat terbitkan sebelum ini pasti peranan bahawa imbuhan-imbuhan yang dinyatakan seolah-olah tiada beza dengan faedah-faedah diberikan syarikat.

Betul, sebenarnya agak sukar untuk tentukan perbezaan antara imbuhan dan faedah! Hal ini kerana terdapat 3 jenis imbuhan yang berbeza berkaitan dengan kerja. Jenis-jenisnya adalah,

  1. Imbuhan Tetap: Nilai yang diberikan tetap dan tidak berubah mengikut persetujuan kontrak perkhidmatan seperti gaji
  2. Imbuhan Tidak Tetap: Nilai yang diberikan boleh berubah-ubah mengikut prestasi pekerja seperti bonus dan komisen
  3. Imbuhan Tidak Spesifik: Nilai yang diberikan tidak terikat kepada kepada tugasan kerja atau tanggungjawab seperti faedah insurans atau kursus latihan.

Maka, apa yang boleh dikatakan di sini adalah faedah-faedah diberikan syarikat jatuh dalam jenis imbuhan tidak spesifik. Ia tidak terikat kepada tugasan pekerja atau tiada nilai monetari tetapi tetap dikira sebagai imbuhan kerana diberikan kepada pekerja sebagai tambahan.

Wajibkah Ambil Tahu Tentang Imbuhan Kerja?

Jawapan kepada persoalan wajibkah majikan atau pegawai HR, malah pekerja ambil tahu tentang kategori dan jenis imbuhan ini adalah WAJIB. Ini kerana terdapat imbuhan kewangan yang tertakluk kepada potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Untuk pengetahuan anda gaji, elaun, komisen dan bonus pekerja adalah tertakluk kepada potongan KWSP. Rujukan lanjut untuk sumber pendapatan yang diwajibkan untuk potongan boleh dibuat pada laman rasmi KWSP sendiri.

Kesimpulannya, setiap imbuhan yang diberikan sama ada dalam bentuk kewangan atau bukan kewangan adalah wajib untuk dikenal pasti kerana sesetengahnya tertakluk kepada potongan wajib seperti KWSP.

Kegagalan majikan atau pegawai HR atau pekerja untuk tidak mencarum sumber pendapatan mereka kepada KWSP mahupun PERKESO boleh dikenakan tindakan seperti denda serta jika disabit kesalahan boleh dipenjara.

beza rest day dan off day
Asas HR

Beza Antara Rest Day dan Off Day

Zahin ByondZahin ByondDecember 6, 2024

Leave a Reply