Skip to main content

Motif utama seorang pekerja bekerja adalah untuk menerima imbuhan gaji. Malah, penetapan gaji ini adalah antara elemen terpenting yang perlu ada dalam kontrak perkhidmatan antara majikan dan pekerja.

Mana tidaknya seorang majikan yang menggajikan pekerja mesti membayar kemahiran yang diberikan pekerja, dan pekerja pula mesti mahukan upah atas usaha yang diberikan. Ia adalah situasi menang-menang (win-win situation) bagi kedua-dua belah pihak.

Gaji Adalah Confidential Pekerja dan Majikan

Gaji sebenarnya adalah topik yang sangat sulit antara pekerja dan majikan. Ia adalah rahsia yang tidak boleh dikongsi sesama rakan kerja, malah ada sesetengah kes gaji juga dirahsiakan dari pengetahuan pasangan sendiri.

Tapi kenapa sebenarnya gaji ini perlu dirahsiakan? Dan kenapa maklumat gaji adalah perkara sulit di antara pekerja dan majikan?

Seperti semua sedia tahu salah satu klausa pada kontrak kerja adalah berkenaan kod kerahsiaan, dan maklumat gaji adalah sebahagian daripadanya. Anda juga pasti akan menemuinya apabila buat semakan pada kontrak kerja.

Tujuan utama maklumat gaji dirahsiakan adalah bagi mengelak perbalahan, pergaduhan dan pertikaian sesama pekerja atau pekerja dan majikan di dalam syarikat. Pada sesetengah kes pekerja boleh ditamatkan perkhidmatan jika mendedahkan maklumat gaji.

Sungguhpun tiada penetapan pendedahan maklumat gaji dalam Akta Kerja 1955, ini tidak membolehkan pekerja untuk sewenang-wenangnya berkongsi perihal gaji sesama pekerja lain.

Kepentingan Gaji Dirahsiakan

1. Tahap Gaji Berbeza

Setiap pekerja memiliki tahap kemahiran yang berbeza-beza dan tugasan kerja juga tidak sama. Ini tidak termasuk lagi dengan faktor pengalaman dan pengetahuan pekerja yang pasti berbeza.

Atas faktor kepelbagaian jenis tugasan serta kemahiran dan pengalaman pekerja dalam sesebuah syarikat, maka tahap pembayarannya juga berbeza-beza. Biasanya mereka yang berpengalaman dibayar tinggi tetapi yang berkemahiran mungkin lagi tinggi.

Masalah juga boleh timbul jika ada 2 pekerja dengan kemahiran dan pengetahuan yang sama tetapi pengalaman berbeza berada dalam satu tugasan yang sama. Di sini tahap pembayarannya pasti berbeza.

2. Mengelak diskriminasi

Apabila berlaku perbezaan gaji dalam satu kumpulan, kecenderungan untuk berlaku diskriminasi dan bias adalah besar. Sifat semula jadi manusia yang suka menilai boleh mencetus pergaduhan apabila berlaku ketidaksamaan.

Lantaran daripada itu, maklumat gaji dirahsiakan bagi mengelak berlaku kes-kes diskriminasi. Contohnya, pekerja yang dibayar gaji kurang akan dipulaukan kerana tiada kemahiran atau pengalaman yang diperlukan untuk tugasan tersebut.

Atau pada situasi berbezanya pula pekerja yang berkemahiran akan ditambah kerja dan mungkin berlebihan daripada jumlah bayaran gaji. Ini mungkin daripada mentiliti bahawa dibayar tinggi jadi kerja perlu diberikan banyak.

3. Mengekalkan motivasi dan produktiviti

Tidak boleh dinafikan gaji adalah motivasi utama kepada pekerja untuk bekerja. Tanpa pembayaran gaji yang setimpal pekerja akan berasa kurang bermotivasi untuk bekerja sehingga produktiviti menurun.

Kesnya sama juga apabila pekerja mendapati gaji yang dibayar tidak setimpal atau tidak sama dengan pekerja lain yang berkemahiran serupa, ini menyebabkan perasaan cemburu sehingga boleh mencetus pergaduhan.

Jadinya topik sensetif gaji ini perlu dirahsiakan bagi menjaga keharmonian pekerja termasuk hubungan dengan majikan di dalam syarikat. Ingat bukan semua orang boleh terima kelebihan yang ada pada orang lain.

Boleh Ke HR Tanya Gaji Semasa Interview?

Semua berpengalaman ditemuduga (interview) semasa ingin mencari kerja. Antara persoalan yang sering ditanya pegawai sumber manusia (HR) adalah berapa gaji yang syarikat lepas tawarkan.

Seperti yang diterangkan awal tadi bahawa maklumat gaji adalah rahsia sulit pekerja dan majikan. Ia tidak boleh dikongsi sesama pekerja apatah lagi dengan orang luar.

Disebabkan itu seboleh-bolehnya anda dinasihatkan untuk berhati-hati apabila mendedahkan maklumat gaji semasa interview. Ini kerana majikan pasti akan mengeksploitasi penawaran gaji berdasarkan jumlah gaji lama yang diterima pekerja.

Dalam bahasa mudahnya adalah majikan selalunya tidak mahu membayar pekerja jumlah gaji yang banyak apabila mengambil pekerja. Anda sendiri juga pasti mahukan harga yang lebih murah apabila memberi barang bukan.

Maka jelas di sini yang maklumat gaji adalah perkara sulit yang tidak boleh didedahkan dan perlu dijaga dengan baik bagi memastikan keharmonian tempat kerja terjamin.

Leave a Reply