Skip to main content

Bayangkan dalam seminggu anda bekerja 4 hari sahaja dan bercuti selama 3 hari. Tidak pernah dibuat orang tapi itu adalah realitinya untuk sesetengah syarikat di United Kingdom (UK) yang mengamalkan polisi kerja 4 hari seminggu.

Hasil kajian percubaan yang dibuat oleh lebih 61 syarikat dari pelbagai industri di UK pada hujung tahun 2022 mendapati amalan kerja 4 hari seminggu berjaya meningkatkan kualiti kerja apabila masalah burnout pekerja menurun sebanyak 71%.

Selain itu, percubaan tersebut juga mendapati amalan kerja 4 hari seminggu berjaya mengurangkan risiko pekerja untuk berhenti dan turut mendapati pekerja berjaya menyiapkan lebih banyak tugasan dalam tempoh yang singkat.

Jadi berdasarkan kajian percubaan di UK ini adakah syarikat-syarikat di Malaysia juga patut mengamalkan polisi kerja 4 hari seminggu dalam meninggkatkan kualiti kerja pekerja?

Apa Kata Akta Kerja 1955?

Seperti biasa untuk membuat sebarang keputusan berkenaan peraturan kerja adalah lebih baik untuk di rujuk pada buku perundangan pekerjaan utama di Malaysia, Akta Kerja 1955.

Bagi menjawab persoalan waktu kerja, boleh semak pada Seksyen 60A yang menerangkan tentang Waktu Kerja dan Bekerja pada Waktu Malam.

Asasnya tempoh waktu bekerja bagi seorang pekerja yang berkhidmat di bawah majikan yang berdaftar di Malaysia adalah,

  • Seorang pekerja tidak boleh bekerja lebih daripada lima (5) jam berturut-turut tanpa tempoh kelapangan tidak kurang daripada jangka masa tiga puluh (30) minit
  • Seorang pekerja tidak boleh bekerja lebih lebih lapan (8) jam dalam satu hari
  • Seorang pekerja tidak boleh bekerja lebih tempoh sepuluh (10) jam dalam satu (1) hari
  • Seorang pekerja tidak boleh bekerja lebih daripada empat puluh lima (45) jam dalam satu (1) minggu

Jika seorang majikan meminta atau mengarahkan pekerja untuk bekerja melebihi syarat-syarat waktu bekerja di atas, maka pekerja itu layak untuk menerima bayaran kerja lebih masa atau overtime (OT) berdasarkan kadar yang ditetapkan.

Di sini sebenarnya waktu bekerja tersebut sudah dipinda dari empat puluh lapan (48) jam kepada empat puluh lima (45) jam seminggu, yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2023. Ia adalah sebahagian daripada cadangan Reduction of Work Recommendation 1962 yang disyorkan oleh Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO).

Tujuan pengenalannya adalah bagi memberi jaminan keseimbangan hidup dan kerja (work-life balance) kepada pekerja, sama seperti objektif perlaksanaan polisi bekerja 4 hari seminggu yang diamalkan UK.

Tetapi sayangnya polisi kerja 4 hari seminggu itu tidak disertakan dalam pindaan yang dibuat baru-baru ini. Jadi konklusinya tiada polisi kerja 4 hari seminggu dalam perundangan pekerjaan di Malaysia.

Boleh Ke Syarikat Amalkan Kerja 4 Hari Seminggu?

Sungguhpun tiada peruntukan polisi bekerja 4 hari seminggu dalam Akta Kerja 1955, ini tidak bermakna syarikat-syarikat tidak boleh mengamalkannya. Selagi waktu kerja yang diamalkan tidak melanggar Seksyen 60A maka polisi itu boleh dilaksanakan.

Malah beberapa negara seperti Belgium UK, Scotland, Wales, Sepanyol Iceland, Sweden, Jerman, Jepun, New Zealand, Amerika Syarikat dan Kanada mendapati beberapa syarikatnya mengamalkan polisi kerja 4 hari seminggu walaupun tiada peruntukan undang-undang tentangnya.

Atas faktor itu beberapa tinjauan telah dibuat oleh beberapa badan dalam negara bagi mengkaji keberkesanan perlaksanaan amalan bekerja 4 hari seminggu di Malaysia. Ada yang mendapati ia bagus untuk kesihatan mental pekerja tetapi ada juga yang sebaliknya.

Tidak dilupakan juga sudut pandangan majikan serta situasi ekonomi semasa, lebih-lebih lagi selepas situasi pandemik mungkin menyukarkan perlaksanaannya buat masa sekarang.

Walaupun tiada polisi bekerja 4 hari seminggu tetapi pindaan baru telah memperkenalkan pula Aturan Kerja Fleksibel (AKF) yang membolehkan pekerja mohon untuk tukar waktu kerja, tempat kerja dan hari bekerja.

Tujuan pengenalan AKF ini adalah sama dengan saranan Reduction of Work Recommendation, 1962 yang menekankan keseimbangan work-life balance. Malah, ia adalah rentetan daripada penerapan amalan work from home yang dipraktiskan semasa pandemik tempoh hari.

Kesimpulan yang boleh diambil adalah buat masa ini polisi bekerja 4 hari seminggu dilihat kurang sesuai untuk diamalkan di Malaysia, tetapi sebagai gantinya perundangan mengurangkan waktu bekerja dan memperkenalkan kemudahan baru bagi menjamin keselesaan pekerja.

Fakta HR

Trend Faedah Pekerjaan di Malaysia

Zahin ByondZahin ByondDecember 23, 2024

2 Comments

Leave a Reply