Skip to main content

Seperti sedia maklum, setiap warganegara Malaysia yang layak wajib bayar cukai pendapatan setiap tahun. Hasil kutipan cukai tersebut adalah sumber pendapatan kerajaan yang akan digunakan semula untuk pembangunan infrastruktur negara.

Mudah kata semua individu yang membayar cukai setiap tahun telah menyumbang kepada pembangunan serta kemodenan infrastrukur negara.

Tetapi bagaimana pula individu bukan warganegara yang bekerja di Malaysia, adakah mereka juga perlu membayar cukai sekiranya jumlah gaji yang diterima melayakkan mereka untuk membayar cukai?

Sifat Cukai di Malaysia

Sebelum bincang tentang cukai pendapatan dan pekerja bukan warganegara, kita perlu faham terlebih dulu berkenaan sifat cukai di Malaysia.

Badan utama yang menguruskan percukaian di Malaysia adalah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan terdapat dua jenis cukai yang dikenakan kepada setiap individu iaitu:

  •  Cukai Langsung – dikenakan terhadap pendapatan atau kekayaan individu serta perniagaan, ini termasuk Cukai Pendapatan dan Cukai Perniagaan.
  • Cukai Tidak Langsung – dikenakan terhadap barangan dan perkhidmatan yang diimport atau dijual dalam negara, ini termasuk Cukai Jualan serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)

Berdasarkan sifat cukai ini, jelas yang Cukai Tidak Langsung boleh dikenakan kepada semua tanpa mengira kewarganegaran. Ini secara tidak langsung bermaksud pekerja bukan warganegara yang guna perkhidmatan atau beli barangan dalam Malaysia boleh dikenakan cukai.

Cukai Pendapatan Untuk Pekerja Asing

Sungguhpun pekerja asing boleh dikenakan Cukai Tidak Langsung, ia tidak bermakna mereka terus layak dikenakan Cukai Langsung seperti Cukai Pendapatan. Terdapat beberapa syarat yang memerlukan pekerja asing membayar cukai pendapatan di Malaysia.

Umumnya Malaysia mengamalkan sistem wilayah apabila berkaitan cukai. Ini bermakna sesiapa yang memiliki pendapatan (berdasarkan kelayakan pembayaran cukai) perlu membayar cukai pendapatan.

Bagi pekerja asing yang bekerja di Malaysia, terdapat dua kategori status yang perlu dikenal pasti sebelum boleh dikenakan cukai pendapatan.

  • Pemastautin – tinggal di Malaysia melebihi 182 hari dalam kalendar setahun
  • Bukan Pemastautin – tinggal di Malaysia kurang 182 hari dan bekerja sekurang-kurangnya 60 hari dalam kalendar setahun

Bagi pekerja asing berstatus pemastautin garis panduannya adalah jelas bahawa mereka perlu membayar cukai pendapatan sekiranya layak, sama seperti warganegara Malaysia yang lain.

Prosedur pemfailan cukai pendapatan untuk pekerja asing berstatus pemastautin perlu mendapatkan borang Form B dan prosesnya boleh dirujuk pada LHDN. Berbeza pula untuk yang bukan pemastautin kerana mereka dikenakan cukai pada kadar rata berdasarkan jenis pendapatan yang diterima semasa bekerja di Malaysia.

Ringkasan jenis pendapatan dan kadar cukai untuk pekerja asing bukan pemastautin adalah seperti berikut:

  • Perniaga, perdagang atau pekerja profesional, dividen, sewa akan dikenakan kadar cukai sebanyak 30%
  • Penghibur awam, faedah dikenakan kadar cukai sebanyak 15%
  • Royalti, pembayaran bagi perkhidmatan berkaitan hartanah atau pemasangan termasuk pengendalian loji serta mesin yang dibeli dari bukan pemastautin dikenakan cukai sebanyak 10%
  • Pembayaran nasihat teknikal, bantuan atau perkhidmatan yang berkaitan pengurusan teknikal atau pentadbiran pada mana-mana projek serta perindustrian atau komersial dikenakan cukai sebanyak 10%
  • Sewaan atau pembayaran lain untuk penggunaan harta boleh alih dikenakan cukai sebanyak 10%

Namun, pekerja asing bukan pemastautin juga boleh dikecualikan daripada pembayaran cukai sekiranya,

  • Bekerja di Malaysia kurang daripada 60 hari
  • Bekerja di atas kapal pelayaran Malaysia
  • Berusia 55 tahun dan menerima pencen daripada penggajian Malaysia
  • Menerima faedah dari bank
  • Menerima dividen pengecualian cukai

Maka jelas di sini bahawa pekerja asing yang berstatus pemastautin atau bukan pemastautin masih perlu membayar cukai pendapatan sekiranya bekerja di dalam Malaysia. Ingat, sistem cukai Malaysia terpakai kepada semua wilayah naungan negara.

Suka diingatkan sekali lagi bahawa pembayaran cukai ini adalah perkara wajib bagi memastikan pembangunan negara dapat diteruskan demi kemajuan rakyat Malaysia itu sendiri. Jadi rajinlah bayar cukai sekiranya anda layak dan boleh nikmati pelepasan cukai yang ditawarkan.

Leave a Reply