Skip to main content

Berkelakuan professional adalah nilai utama di tempat kerja dan wajib diamalkan oleh setiap pekerja. Tanpa pengamalan nilai “professionalism” ini, banyak masalah yang akan timbul dalam kalangan pekerja.

Antara masalah yang dihadapi oleh pekerja adalah gangguan seksual. Gangguan seksual di tempat kerja merupakan isu serius yang boleh memberi kesan negatif kepada kesejahteraan dan produktiviti pekerja.

Oleh itu, adalah penting untuk setiap syarikat mempunyai prosedur yang jelas dan berkesan untuk menangani gangguan seksual yang dihadapi di tempat kerja. 

Definisi Gangguan Seksual dalam Akta Kerja 1995

Seperti yang diketahui umum, gangguan seksual hadir dalam pelbagai bentuk. Ada yang menggunakannya sebagai bentuk ancaman, ugutan atau sebagai jenaka. Walau apapun bentuknya, ia merupakan kesalahan yang besar disisi undang-undang apatah lagi di tempat kerja. 

Pada Seksyen 81A, Akta Kerja 1995 ada menyatakan tentang aduan gangguan seksual yang melibatkan sebarang gangguan seksual yang dibuat:

  1. Oleh seorang pekerja terhadap pekerja lain
  2. Oleh seorang pekerja terhadap majikan
  3. Oleh majikan terhadap seorang pekerja

Prosedur Aduan Gangguan Seksual dalam Akta Kerja 1995

Akta Kerja 1995 menyediakan prosedur yang lengkap bagi mangsa yang menghadapi sebarang gangguan seksual di tempat kerja. Prosedur ini boleh digunakan sebagai panduan kepada pekerja dan majikan untuk menyelesaikan masalah ini dengan cekap. 

Suka dimaklumkan, prosedur ini hanya rujukan semata-mata. Untuk kes serius boleh disalurkan pada pihak berkenaan seperti Jabatan Buruh. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diikuti bagi kes gangguan seksual di tempat kerja:

  • Siasatan Terhadap Aduan Gangguan Seksual (Seksyen 81B)

Dinyatakan pada subseksyen (1), aduan yang diterima perlu disiasat oleh pihak majikan atau mana-mana kelas majikan dengan cara yang telah ditetapkan oleh menteri. 

Subseksyen (2) pula menyebut, majikan perlu memaklumkan kepada pengadu jika ingin menolak permintaan untuk menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut. Rekod bertulis perlu diberikan kepada pengadu dalam tempoh 30 hari dari hari penerimaan aduan tersebut.

Majikan boleh menolak permintaan untuk menjalankan siasatan atas beberapa perkara yang dinyatakan dalam subseksyen (3) seperti:

  1. Aduan berkenaan gangguan seksual itu telah pernah disiasat dan tiada gangguan seksual dibuktikan
  2. Majikan berpendapat bahawa aduan berkenaan gangguan seksual itu adalah remeh, menyusahkan atau bukan dibuat dengan suci hati

Menurut subseksyen (4) jika pengadu tidak berpuas hati atas keputusan yang dilakukan oleh majikan terhadap aduan berkenaan gangguan seksual tersebut, perkara tersebut boleh dirujuk kepada Ketua Pengarah.

Ketua Pengarah setelah membuat kajian semula perkara yang dirujuk kepadanya di bawah subseksyen (5)

  1. Sekiranya dia fikir perkara itu harus disiasat, mengarahkan majikan itu untuk membuat suatu siasatan; atau
  2. Sekiranya dia bersetuju dengan keputusan majikan itu untuk tidak membuat siasatan, memaklumkan orang yang merujuk perkara itu kepadanya bahawa tidak ada tindakan lanjutan akan diambil. 
  • Dapatan Siasatan Oleh Majikan (Seksyen 81C)

Setelah siasatan dijalankan, majikan perlu menjatuhkan hukuman kepada pelaku yang bertanggungjawab atas perbuatan mereka. Usaha ini disertakan di dalam Akta Kerja 1995 bertujuan untuk membanteras perlakuan tidak bermoral daripada berleluasa.

Mengikut seksyen 81C, jika siasatan tersebut mendapati bahawa gangguan seksual tersebut telah terbukti, majikan perlu mengambil tindakan disiplin ke atas pelaku tersebut seperti:

  1. Memecat pekerja itu tanpa notis
  2. Menurunkan pangkat pekerja itu
  3. Mengenakan apa-apa hukuman ringan lain sebagaimana yang disifatkan adil dan patut, dan di mana hukuman pergantungan tanpa gaji dikenakan,ia tidak boleh melebihi suatu tempoh 2 minggu 

Jika pelaku adalah orang luar, disyorkan untuk dibawa kepada pihak berkuasa disiplin yang bersesuaian. 

  • Kesalahan (Seksyen 81F)

Disertakan sekali di dalam Akta Kerja 1995 ini adalah implikasi kepada majikan yang enggan memberi kerjasama untuk melawan masalah gangguan seksual di tempat kerja. Ini adalah kerana majikan bertanggungjawab untuk menjaga keharmonian dan keselamatan di tempat kerja.

Denda akan dikenakan kepada majikan jika gagal:

  1. Membuat siasatan terhadap aduan berkenaan gangguan seksual di bawah subseksyen 81B(1)
  2. Memaklumkan kepada pengadu tentang keengganannya dan sebab-sebab bagi keengganan itu sebagaimana yang dikendaki di bawah subseksyen 81B(2)
  3. Membuat siasatan terhadap aduan berkenaan gangguan seksual apabila diarahkan untuk berbuat demikian oleh Ketua Pengarah di bawah perenggan 81B(5)(a) atau subseksyen 81D(2)
  4. Mengemukakan suatu laporan siasatan gangguan seksual kepada Ketua Pengarah di bawah subseksyen 81D(2)

Denda yang dikenakan kepada majikan tersebut adalah tidak melebihi lima puluh ribu ringgit 

  • Notis gangguan seksual (Seksyen 81H)

Usaha untuk menangani kegiatan gangguan seksual di tambah baik lagi berdasarkan Akta Kerja 1995, di mana setiap majikan wajib menggunakan notis gangguan seksual di tempat kerja untuk meningkatkan kesedaran terhadap gangguan seksual. 

Notis gangguan seksual tersebut wajib ditampal di tempat yang mudah dilihat oleh semua pekerja pada setiap masa. Oleh itu, semua pekerja akan sentiasa diingatkan untuk menghindari dari melakukan perbuatan terlarang tersebut. 

Menghadapi gangguan seksual di tempat kerja adalah sesuatu yang mencabar, tetapi dengan prosedur yang betul, pekerja dapat dilindungi dan diberi sokongan yang diperlukan. Adalah penting bagi setiap organisasi untuk mengambil isu ini dengan serius dan memastikan bahawa tempat kerja adalah selamat dan selesa untuk semua pekerja.

Pengurusan Pekerja Dengan MySyarikat!

Dalam pada itu adakah syarikat anda menghadapi masalah pengurusan pekerja? Sukar untuk selarakan para pekerja dalam kuantiti banyak? Berita baik kepada anda kerana MySyarikat satu-satunya sistem HR software yang anda perlukan!

Dengan MySyarikat pengurusan sumber manusia anda akan lebih efisien dan efektif. Terdapat pelbagai fungsi pengurusan yang ditawarkan termasuk pengurusan gaji, cuti, tuntutan, termasuk feature rekod kehadiran dan membuat pengumuman yang moden serta inovatif.

Rasai pengalaman menggunakan HR software Malaysia terbaik sekarang dengan ‘Book Demo’ secara percuma bersama kami!

Leave a Reply